Kematian Nur Dinie Bukan Disebabkan Influenza

Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan Nur Dinie negatif bagi jangkitan influenza.

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan ujian sampel klinikal Nur Dinie Damia Muhammad Noor, 7, adalah negatif bagi jangkitan influenza.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit dirujuk kepada Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru dari sebuah hospital swasta pada 10 Januari lalu dalam keadaan sangat kritikal.

“Dia menerima bantuan pernafasan dan rawatan rapi oleh pasukan perubatan yang diketuai pakar perubatan pediatrik.

“Namun keadaan pesakit semakin tenat dan disahkan meninggal dunia pada jam 10.48 malam, 13 Januari lalu.

“Ujian sampel klinikal kanak-kanak ini adalah negatif bagi jangkitan influenza dan punca kematian masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, KKM mengambil maklum mengenai satu kes kematian kanak-kanak yang dilaporkan media dikaitkan dengan influenza dan berdasarkan laporan awal yang diterima, pesakit dibawa ibu bapanya ke Jabatan Kecemasan sebuah hospital swasta di Selangor pada 11 Januari lalu dalam keadaan kritikal.

“Pesakit meninggal dunia pada 12 Januari lalu dan siasatan sedang dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kematian.

“KKM merakam ucapan takziah kepada keluarga kedua-dua kanak-kanak terbabit,” katanya.

Menurutnya, analisa semasa bagi trend aktiviti influenza meliputi kadar konsultasi kes influenza like-illness (ILI) dan kadar kemasukan pesakit ke wad dengan ‘severe acute respiratory infection’ (SARI) dari lokasi sentinel di seluruh negara menunjukkan peningkatan sejak minggu akhir Disember lalu.

“Peningkatan ini dikesan di Kedah, Negeri Sembilan, Melaka, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Selangor, Perak, Johor, Pahang, Pulau Pinang, Terengganu dan Sarawak.

“Bilangan wabak ILI juga menunjukkan peningkatan namun kejadian wabak adalah dalam keadaan terkawal,” katanya.

Menurutnya, survelan influenza makmal yang dijalankan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) Sungai Buloh juga menunjukkan peningkatan trend aktiviti virus influenza dalam persekitaran.

“Tiada sebarang kelainan atau perubahan pada virus influenza yang menular ketika ini.

“Aktiviti influenza ini juga adalah sama seperti yang dilaporkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia di negara tropika lain di rantau Asia Tenggara, Asia Selatan, Amerika Tengah dan Amerika Selatan,” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *