PRK Kimanis: ARMADA Yakin WARISAN Mampu Menang

KOTA BHARU: Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), optimis calon Parti Warisan Sabah (WARISAN) mampu menewaskan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, 18 Januari ini.

Ketuanya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata berdasarkan prestasi Kerajaan Sabah ketika ini, tidak ada sebab pengundi di Parlimen Kimanis akan menolak WARISAN yang dipimpin Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Banyak pembaharuan di Sabah sejak WARISAN mengambil alih kerajaan negeri dan ini sudah tentu memberi impak baik di Kimanis. Insya-Allah, WARISAN mampu memperoleh kemenangan yang baik.

“Saya juga sudah beberapa kali ke Kimanis dan melihat semua pihak bertungkus lumus membantu WARISAN untuk menang,” katanya kepada pemberita selepas program Rapat Umum Kelantan bersama beliau, di sini, malam tadi.

Pada PRK Parlimen Kimanis, calon WARISAN, Datuk Karim Bujang, 67, akan dicabar calon BN, Datuk Mohamad Alamin, 48.

Mengulas mengenai majlis malam tadi pula, Syed Saddiq yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, Kelantan ialah negeri pertama diadakan jelajah rapat umum berkenaan sebelum diteruskan ke seluruh negara.

“Saya akan ke seluruh negara untuk bertemu anak muda dan mendengar suara mereka. ARMADA akan menyusun gerakan yang lebih tersusun untuk tahun ini,” katanya.

Pada majlis itu, Syed Saddiq turut menjawab beberapa soalan mengenai situasi politik semasa menerusi sesi dialog. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *