Ops Ice Breaker: Ibu Dua Anak Antara Enam Ditahan

Antara penagih yang didapati sedang leka mengambil dadah ditahan dalam operasi itu.

KUNAK: Seorang ibu kepada dua orang anak antara enam penagih dadah yang ditahan di kediaman masing-masing dalam Ops Ice Breaker, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kunak Supritendan Baharin Md Tahir berkata, operasi dilaksana sepasukan dua pegawai dan tujuh anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah dan Narkortik Daerah telah menyerbu 13 rumah dan memeriksa 18 individu di Kampung (Kg) Getah, Sungai Atas, Ladang Mostyn, Skim Cocos, Tun Fuad dan Ladang Bungaliao pada awal pagi Jumaat dan Sabtu lalu.

Katanya, enam suspek berumur lingkungan 20 tahun hingga 50 tahun yang ditahan termasuk suspek wanita itu terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Berbahaya Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(2) akta yang sama.

“Pada hari pertama operasi, dua penagih berumur 40 tahun dan 20an yang tidak bekerja ditahan ketika sedang leka menghisap dadah di kediaman masing-masing di Kampung Getah dan Ladang Mostyn kira-kira jam 1.30 pagi dan 2.30 pagi.

“Tiga lelaki dan seorang wanita berumur 40 tahun hingga 50-an pula di tahan dalam operasi hari kedua pada Sabtu yang dilaksanakan jam 1 pagi hingga 5 pagi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Baharin, operasi akan diteruskan bagi membendung penyalahgunaan dadah di daerah itu seterusnya membenteras jenayah berkaitan dari berleluasa.

Orang ramai juga digesa untuk terus menyalurkan maklumat dan terus bekerjasama menjayakan program-program kemasyarakatan yang dapat mempertingkat kesedaran awam khususnya berkaitan bahaya penyalahgunaan dadah.

Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *