Bot Pemungut Sampah Terapung Tangani Isu Sampah Di Perairan Pantai Semporna

Bot Pemungut Sampah Terapung yang mula beroperasi di perairan pantai Semporna.

SEMPORNA: Projek Perintis Bot Pemungut Sampah Terapung diharap dapat membantu dalam menangani isu sampah di sekitar perairan pantai Semporna.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong berkata, pelaksanaan projek ini dapat memupuk kesedaran awam mengenai kepentingan alam sekitar dan kawasan air laut yang bersih serta menjadi titik tolak dalam pembasmian sampah di daerah ini.

Bot Pemungut Sampah Terapung yang mula beroperasi di perairan pantai Semporna.

“Kesedaran ini bukan sahaja di perairan pantai, malah di bandar dan tempat tinggal penduduk juga harus dibuat untuk memenuhi visi Semporna sebagai daerah bebas sampah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian kerajaan Tempatan Dan Perumahan Sabah Stanley Chong Hon Chung semasa majlis perasmian Projek Perintis Bot Pemungut Sampah Terapung, di sini semalam.

Beliau berkata, Semporna terkenal sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia kerana memiliki pulau dan kawasan penyelaman yang indah seperti Pulau Sipadan, Bohey Dulang dan Sibuan yang dikenali sebagai antara lokasi tumpuan aktiviti menyelam di dunia.

“Namun, tahap kebersihan pantai yang tidak memuaskan dengan sampah-sampah terapung di perairan pantai mencacatkan pemandangan perairannya.

“Hal ini kerana, kebersihan dapat mempengaruhi kedatangan pelancong dan ianya juga menjadi penilaian pelancong terhadap produk-produk pelancongan yang terdapat di daerah ini,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau ingin menekankan tanggungjawab menjaga kebersihan persekitaran adalah tanggungjawab bersama dan jika kita saling bekerjasama memainkan peranan menjaga kebersihan alam sekitar, visi untuk mencapai daerah bebas sampah akan tercapai.

“Persekitaran yang bersih juga penting kerana akan mempengaruhi beberapa faktor utama iaitu persekitaran yang selamat, mengelakkan pelbagai penyakit dan memberi keselesaan kepada penduduk,” katanya.

Menurutnya, pantai yang bebas sampah akan menarik lebih ramai pelancong untuk datang ke Semporna kerana selain menikmati kawasan laut yang jernih dan cantik, mereka juga dapat menghargai kawasan persekitaran yang bersih.

“Dengan usaha ini juga dapat mengembangkan lagi sektor pelancongan di Semporna dan akan membuka peluang pekerjaan yang lebih luas kepada penduduk setempat.

“Pelancongan merupakan antara industri yang memerlukan ramai tenaga kerja seperti pekerja hotel, pemandu pelancongan, pekerja kedai cenderamata dan pekerja kedai kraf tangan,” katanya.

Beliau juga berterima kasih kepada syarikat Save The Sea Sdn Bhd kerana memilih Semporna sebagai lokasi bagi pelancaran Projek Perintis Bot Pemungut Sampah Terapung ini.

“Diharapkan, dengan adanya usaha dan kerjasama ini akan memberikan lonjakkan pertubuhan ekonomi daerah tertutamanya dalam sektor pelancongan,” katanya.

Turut hadir Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Jimmy Wong, Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Sisa pepejal Negara Noreha Muslim, Pegawai Daerah Semporna Benedict Asmat, Pengerusi Berjaya Enviro Holdings Sdn Bhd Zakaria Abdul Hamid dan Pengarah Urusan Save The Sea Sdn Bhd Chock Eng Tah.

Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *