49 Individu Ditahan Dalam Serbuan Di Sembulan, Inanam Dan Kg Air

Antara penagih yang ditahan dan diperiksa pada Ops Ice Breaker.

KOTA KINABALU: Seramai 49 individu berusia diantara 13 sehingga 55 tahun berjaya ditahan dalam 17 serbuan dijalankan sejak 4 Januari sehingga 10 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, 37 orang yang ditahan itu adalah warganegara dan 12 orang adalah warga asing.

“Daripada jumlah itu, tiga orang disiasat berdasarkan Seksyen 39A (1)Akta Dadah Berbahaya 1952, lapan orang disiasat dibawah Seksyen 12(2), seorang disiasat Sekysen 6 dan 37 individu lain disiasat berdasarkan Seksyen 15(1)(A) dalam akta yang sama.

“Sepanjang tempoh itu, Ops Ice Breaker dilaksanakan di tiga lokasi iaitu Kampung Sembulan, Pekan Inanam dan Kg Air.

“Seramai 26 orang ditahan sepanjang operasi berkenaan yang masing-masing ditahan berdasarkan Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan rampasan dadah pada sepanjang tempoh operasi dilaksanakan ialah berjumlah 30.95 gram syabu dan 2.21 gram ganja yang dianggarkan bernilai RM4, 686.70 mengikut harga dadah semasa.

Katanya, usaha membanteras pengedaran dan penagihan dadah di sekitar daerah ini sentiasa diperhebatkan dari semasa ke semasa.

“Orang awam digesa membantu menyalurkan maklumat kepada pihak polis ke talian 088-529 220 atau ke akaun Facebook Page Polis Daerah Kota Kinabalu,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *