Remaja 13 Tahun Antara Individu Ditahan Ops Ice Breaker

Polis melakukan pemeriksaan ke atas suspek yang ditahan dalam Ops Ice Breaker di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Ihsan IPD Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Polis menahan seramai 49 individu termasuk seorang remaja lelaki berusia 13 tahun dalam Ops Ice Breaker sejak 4 Januari lalu hingga kelmarin.

Semua tangkapan dijalankan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata semua suspek berusia 13 hingga 55 tahun itu ditahan dalam 17 serbuan yang dijalankan di beberapa lokasi di daerah ini.

“Mengikut pecahan daripada 49 yang ditahan itu, seramai 37 individu adalah warga tempatan  manakala selebihnya warga asing.

“Selain itu juga, tiga individu disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, lapan disiasat mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952, seorang disiasat mengikut Seksyen 6 ADB 1952 dan 37 individu disiasat mengikut Seksyen 15(1)(A) akta sama,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Habibi berkata jumlah keseluruhan rampasan dadah dalam itu sebanyak 30.95 gram dadah jenis syabu dan 2.21 gram ganja.

“Nilai keseluruhan rampasan dadah syabu dan ganja RM4,686 mengikut harga dadah semasa.

“Usaha untuk membanteras pengedaran dan penagihan dadah di sekitar daerah ini sentiasa diperhebatkan dari semasa ke sesama bagi kesejahteraan dan ketenteraman awam,” katanya.

Sementara itu, Habibi berkata dalam usaha membanteras jenayah dadah di daerah ini, orang awam juga diperlukan dengan menyalurkan maklumat ke Hotline IPD Kota Kinabalu di talian 088 529220.

SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *