Saksi Rakam Video Diminta Tampil Bantu Siasatan

LAHAD DATU, 11 Jan — Polis meminta saksi yang merakam video kejadian penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) didakwa menggunakan kekerasan terhadap penunggang motorsikal, yang tular di media sosial, agar tampil membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Nasri Mansor berkata saksi berkenaan boleh ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu atau mana-mana IPD atau balai polis berdekatan, untuk diambil keterangan.

“Dalam kejadian semalam kira-kira pukul 10.30 pagi yang berlaku di Kilometer 23, Jalan Lahad Datu-Sandakan, saksi berkenaan dipercayai merakam video berdurasi 45 saat yang memaparkan anggota JPJ melakukan kekerasan, dengan menendang penunggang motorsikal lelaki,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Penunggang motorsikal berumur 20 tahun itu ditahan, selepas cuba melarikan diri dari sekatan jalan dan bertindak merempuh dua pegawai JPJ yang bertugas, sehingga pegawai berkenaan terpaksa menggunakan kekerasan untuk menahannya.

BERNAMA 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *