Anggota Perkhidmatan Awam Diingat Tidak Terlibat Politik

KIMANIS: Ketua Penerangan Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Dr Yusof Yacob menafikan dakwaan liar pihak tertentu bahawa penjawat awam di Kimanis diugut agar mengundi calon parti pimpinan kerajaan.

Beliau berkata, dakwaan sebegitu tidak berasas kerana tidak timbul soal ugutan kepada penjawat awam.

Katanya, apa yang berlaku hanyalah salah faham. Setiap perkara diperkatakan akan dipolitikkan semasa kempen sebegini.

“Saya hanya menerangkan tentang keperluan dan kefahaman kepada semua pegawai kerajaan agar jangan terlibat dalam politik. Mereka seharusnya memberi perkhidmatan kepada kerajaan hari ini.

“Jika dilihat kerajaan hari ini sudah dibentuk dan di Sabah ia diketuai oleh Warisan dan di persekutuan diketuai oleh Pakatan Harapan.

“Untuk itu, jika pegawai kerajaan memegang jawatan dalam politik kepartian maknanya, dia akan menyebelahi pihak tertentu sama ada parti kerajaan mahupun parti pembangkang.

“Penglibatan dalam politik akan menyebabkan sistem penyampaian perkhidmatan awam tidak dapat disampaikan secara berkesan,” katanya ketika ditemui selepas Karnival Kerjaya Kimanis 2020, di sini hari ini.

Menteri Pelajaran dan Inovasi ini berkata, beliau tidak menyatakan mahu memecat mahupun mengugut sebaliknya, hanya mahu memberi kefahaman supaya anggota perkhidmatan awam tidak berpihak kepada mana-mana parti.

Katanya, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berjanji untuk memberi autonomi kepada Sabah sekiranya menag dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang. Ini hanya janji untuk meraih undi.

Katanya, kerajaan Warisan hari ini berjuang untuk mendapatkan hak-hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Daripada 21 perkara, 17 daripadanya telah dipersetujui dan diselesaikan. Hanya empat isu sahaja lagi yang akan dibincangkan.

Katanya, dalam tempoh tiga tahun ini, empat perkara itu akan cuba diselesaikan sebelum PRU akan datang.

“Saya ingat kalau maksud Zahid adalah autonomi bukan kepada Sabah tetapi kepada Bung Moktar atau pemimpin UMNO lain.

“Kita mahu yang betul-betul..parti yang akan bawa kebaikan untuk Sabah. Bukan cuma retorik untuk mengelirukan rakyat,” ujarnya.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *