Ajal Dua Rakan

Kenderaan terbabit kemalangan itu – Foto Juwan Riduan

KOTA KINABALU: Dua rakan maut selepas kereta dinaiki mereka dirempuh pacuan empat roda dalam kemalangan di Jalan Coastal berhampiran Hospital Gleneagles, di Kota Kinabalu, tengah malam tadi.

Pada kejadian 12.48 tengah itu, pemandu kereta, Chong Yin Cheong@Henry, 84, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE1).

Rakannya, Amarjeet Singh Gill, 57, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, siasatan awal di lokasi kemalangan mendapati pacuan empat roda dinaiki tiga lelaki dari arah lampu isyarat Sutera Habour menuju ke Oceanus.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, ketika berada di jalan lurus utama, tiba-tiba kereta dipandu mangsa keluar simpang secara mengejut menyebabkan pemandu pacuan empat roda itu tidak sempat mengelak lalu terlanggar bahagian kiri kereta dipandu mangsa.

“Akibat daripada kemalangan itu, penumpang kereta meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandunya disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Unit Kecemasan HQE I, jam 1.17 pagi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, pemandu dan penumpang pacuan empat roda itu hanya cedera ringan.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *