(VIDEO) Siasat JPJ Pukul Penunggang Motosikal

Sedutan daripada video tular penunggang motosikal dipukul individu dipercayai pegawai JPJ.

KULALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah sedang menjalankan siasatan berhubung video tular melalui WhatsApp yang memaparkan penunggang motosikal dipukul pegawai jabatan itu dalam kejadian yang berlaku pagi hari ini.

Video berkenaan menunjukkan individu terbabit keluar dari kenderaan JPJ sebelum bertindak agresif terhadap penunggang motosikal itu.

Timbalan Pengarah JPJ Sabah Datuk Abdul Rahman Zakaria berkata, pihaknya sedang menyiasat video terbabit.

“Kami akan memaklumkan mengenai hasil siasatan selepas ini,” katanya ketika dihubungi di Sandakan hari ini.

Hari ini, satu video berdurasi 45 saat tular melalui WhatsApp dengan memaparkan seorang penunggang motosikal berada di kawasan rumput di tepi jalan raya.

Video itu turut menunjukkan dua individu turun dari kenderaan JPJ yang melintang di tengah jalan raya berdekatan penunggang motosikal.

Dua individu itu kemudiannya menuju ke arah penunggang motosikal dan seorang daripada mereka dilihat memukul penunggang motosikal terbabit hingga menyebabkannya jatuh terduduk.

Difahamkan, kejadian terbabit dipercayai berlaku pada 10.30 pagi di Jalan Sandakan-Lahad Datu.

Menurut sumber, sepasukan lapan anggota JPJ melakukan sekatan jalan raya dan dua daripadanya melakukan tugasan rondaan menggunakan Toyota Fortuner jabatan itu untuk melakukan pemeriksaan dan mengawal lalu lintas terhadap kenderaan berhenti sebelum sekatan.

Katanya, mereka kemudiannya mengesan penunggang motosikal Modenas Dinamik yang berusia lingkungan 20-an dan cuba berhenti sebelum sekatan terbabit.

“Pegawai JPJ itu kemudiannya mengarahkan penunggang terbabit ke kawasan sekatan untuk pemeriksaan lanjut

“Penunggang berkenaan kemudiannya berpatah balik dipercayai untuk melarikan diri dan cuba merempuh dua pegawai JPJ yang sedang mengawal lalu lintas.

“Bagaimanapun, tindakan penunggang berkenaan gagal apabila tayar motosikalnya bergesel dengan bahagian hadapan kenderaan jabatan itu dan terbabas ke dalam parit di tepi jalan.

“Tindakan penunggang berkenaan yang enggan berhenti dan bertindak agresif untuk melepaskan diri membuatkan dua pegawai JPJ berkenaan cuba sebaik mungkin untuk menghentikan dengan melompat ke arah motosikal seperti tular dalam video berkenaan,” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *