Pusher ‘Batu’ Jeroco Ditahan Dalam Op Tapis

Suspek ditahan bersama barang bukti kes yang dirampas.

LAHAD DATU: Polis di sini menahan seorang lelaki warga asing disyaki tokan dadah dan merampas 31.20 gram syabu di simpang Batu 13 Jalan Jeroco, di sini.

Menurut Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor, suspek berumur 41 tahun itu ditahan dalam Op Tapis yang dilaksana sepasukan lima anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah di kawasan simpang di lokasi pada Khamis kira-kira jam 5 petang.

“Pemeriksaan badan ke atas suspek menjumpai satu sampul warna putih, biru, merah bertulis ‘Air Mail Par-Avion’ dalam poket hadapan sebelah kanan seluar jeans panjang warna biru yang dipakai suspek,” katanya dalam kenyataan di sini.

Nasri berkata kandungan di dalam sampul itu terdapat satu paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu anggaran berat 31.20 gram bernilai RM4,680 dan 19 gulung kertas timah.

Siasatan lanjut mendapati suspek positif ujian air kencing dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *