Pan Borneo: Pelantikan JKR Pastikan Tiada Penglibatan Ahli Politik

KIMANIS, 9 Jan: Pelantikan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah sebagai Rakan Pelaksana Projek (PDP) pembinaan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) di negeri ini, adalah bagi menamatkan penglibatan syarikat swasta yang diurus oleh ahli politik ketika di bawah Barisan Nasional (BN).

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, sebelum peranan PDP itu diambil alih oleh JKR Sabah pada September lepas, ia dilaksana oleh Borneo Highway PDP Sdn Bhd (BHP) yang diurus oleh seorang pemimpin parti politik.

Beliau berkata ketika di bawah BN, pelaksanaan projek lebuh raya itu sudah menelan kos sebanyak RM26 juta.

“Saya nyatakan kepada Tun M (Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad), mana boleh syarikat PDP diurus oleh orang politik.

“Tun M setuju batal PDP sebelum ini, kini JKR Sabah (di bawah Kementerian Pembangunan Infrastruktur Sabah) sebagai PDP dan kerajaan negeri turut menubuhkan jawatankuasa yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong bagi mengurus pelaksanaan projek itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis tautan kasih bersama pemimpin di Masjid Kampung Kuala Mandahan, di sini, hari ini.

Turut hadir, calon Parti Warisan Sabah (Warisan) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis. Datuk Karim Bujang.

Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata, setelah perubahan dilakukan terhadap pelaksanaan projek lebuh raya berkenaan, sehingga kini kerajaan membelanjakan RM900 juta untuk pampasan tanah. 

Isnin lepas, Kementerian Kerja Raya memaklumkan bahawa projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah setakat 31 Dis 2019 mencatat kemajuan fizikal 22 peratus secara keseluruhan bagi 12 pakej asal dan akan siap sepenuhnya secara berfasa selewat-lewatnya Jun 2023. 

Kementerian itu, dalam kenyataan tersebut, turut memberitahu bahawa tiga pakej tambahan yang baharu pula dijangka siap akhir 2023 dan menegaskan projek LPB Sabah tetap diteruskan pelaksanaannya walaupun setelah kerajaan menamatkan PDP pada 21 Sept tahun lepas.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *