Miliki Gading Gajah Borneo, Suami Isteri Dipenjara Empat Tahun Denda RM200,000

TAWAU: Sepasang suami isteri masing-masing didenda sebanyak RM100,000 dan penjara empat tahun selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki empat batang gading gajah Borneo secara haram, di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.

Tertuduh Hendrikus Pale, 48, dan isterinya Anastasia Daton, 50, didakwa melakukan kesalahan itu pada 5 Januari lalu, pukul 1.30 petang di rumah pekerja Ladang Maliau Serijaya Industries Sdn Bhd dalam kawasan Hutan Simpan Gunung Rara (kelas II), dalam daerah Kalabakan-Tawau.

Berdasarkan pertuduhan yang dibacakan dihadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud, kedua-dua tertuduh didakwa dengan niat telah memiliki atau bersubahat memiliki gading gajah berkenaan iaitu suatu hasil daripada spesis haiwan yang dilindungi sepenuhnya seperti mana disenaraikan dalam Bahagian 1, Jadual 1, Nombor 11 Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 tanpa kebenaran bertulis dari menteri yang bertindak atas nasihat pengarah.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 41 (1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 41(1)(a) Enakmen yang sama dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda antara RM50,000 hingga RM250,000 dan penjara antara satu hingga lima tahun.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Jabatan Hidupan Liar (JHL) Abdul Karim Dakog manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, kedua-dua tertuduh merayu mahkamah agar meringankan hukuman memandangkan mereka perlu menyara anak yang kini berada di kampung, Indonesia.

Abdul Karim dalam hujahnya berkata, pemilikan empat gading itu memerlukan sekurang-kurangnya dua ekor gajah Borneo mati dibunuh.

Malah menurutnya, gajah Borneo adalah haiwan yang dilindungi dan menjadi satu kesalahan besar jika memiliki gading tanpa kebenaran di negeri ini

Awang Kerisnada berkata, mahkamah tidak boleh mengenakan hukuman yang ringan bagi kesalahan tersebut kerana mengambil kira kes, kepupusan haiwan dan kepentingan awam.

“Gajah Borneo adalah spesis dilindungi dan hampir pupus. Justeru, saya mahukan hukuman yang dikenakan ini memberi mesej yang cukup jelas kepada orang ramai betapa seriusnya kesalahan ini sekali gus tidak melakukannya.

“Apatah lagi, tertuduh adalah warga asing yang bekerja di sini, sanggup melanggar perundangan negara ini,” katanya.

Beliau menjelaskan, aktiviti membunuh gajah Borneo yang semakin meningkat di Sabah berlaku disebabkan adanya mereka (tertuduh) sebagai pembeli dan mengambil untung daripada hasil jualan semula gading tersebut.

“Sehubungan itu, mahkamah memutuskan setiap tertuduh dikenakan hukuman denda sebanyak RM100,000 dan penjara 4 tahun bermula hari ini.

“Selain itu, jika gagal membayar denda, mereka akan dipenjara selama setahun dan hukuman itu dijalankan secara berasingan dengan hukuman penjara sedia ada,” katanya.

Awang Kerisnada berkata, kedua-dua tertuduh juga hendaklah diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tujuan pengusiran selepas tamat menjalani hukuman penjara, selain semua gading yang dirampas diserahkan kepada JHL bagi tujuan perlupusan mengikut perundangan.

Sementara itu, sebaik selesai prosiding mahkamah, Hendrikus kelihatan sebak dan mula sedikit hilang pertimbangan dipercayai akibat tidak berpuas hati dengan hukuman tersebut.

Kekecohan berlaku apabila Hendrikus mula bertindak agresif dan menjerit ke arah pegawai JHL yang mengawalnya.

Pihak polis dan pegawai JHL terpaksa mengambil masa hampir 10 minit untuk menenangkan tertuduh sebelum dia dan isterinya dibawa keluar dari pekarangan mahkamah ke penjara untuk menjalani hukuman.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *