Lelaki OKU Ditemui Selamat 20KM Dari Lokasi Hilang

Mangsa Orang Kurang Upaya (OKU) bisu dan hiperaktif, Andraus Yangkilamai (kiri) ditemui selamat oleh penduduk di Kampung Rungus Nahaba, Tamparuli

KIULU: Lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) bisu dan hiperaktif yang dilaporkan hilang sejak 1 Januari lalu di Jalan Pahu-Nulu di Kampung Nulu, Kiulu, ditemui selamat, hari ini.

Andraus Yangkilamai, 39, ditemui penduduk di Kampung Rungus Nahaba, Tamparuli pada 7.30 malam kira-kira 20 kilometer dari kampung mangsa dilaporkan hilang.

Penduduk Emillia Suamin, 29, berkata, mangsa yang juga bapa saudaranya ditemui seorang lelaki di kampung berkenaan.

“Bapa saudara kelihatan letih dan kelaparan sebelum diberi makan oleh penduduk di sana.

“Kedua-dua tapak kakinya juga cedera akibat merentasi hutan tebal sebelum dia melihat cahaya lampu di rumah penduduk,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, sebaik dihubungi individu yang menemui mangsa, keluarganya segera bergegas ke lokasi bagi mengambil mangsa.

“Bapa saudara saya mengatakan dia melarikan diri ke tengah hutan sebelum tersesat.

“Mujur, dia selamat dan kami sekeluarga berterima kasih kepada pihak bomba, polis dan penduduk kampung yang turut serta mencari mangsa,” katanya.

Pada 1 Januari lalu, mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah dari kebun sayur yang berhampiran.

Bagaimanapun, mangsa dilaporkan hilang selepas didapati tidak berada di rumah.

Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *