Helah Beli ‘Kredit Top Up’, Rupanya Curi RM5,000

Tiga suspek termasuk seorang wanita yang disyaki mencuri di sebuah rumah di Kampung Tanjung Labian di Lahad Datu semalam. Foto Ihsan PDRM

LAHAD DATU: Wanita antara tiga suspek ditahan selepas disyaki terbabit kes curi di Kampung Tanjung Labian di Lahad Datu semalam.

Wanita berusia 34 tahun itu ditahan bersama dua lelaki masing-masing berusia 22 dan 49 tahun di sebuah rumah di Sahabat Tiga, Desa Kencana pada 3.20 petang.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, mereka itu ditahan susulan laporan kejadian curi di kampung yang sama pada 10.30 pagi.

Menurutnya, rumah mangsa berusia 43 tahun itu dilaporkan didatangi suspek wanita berkenaan ketika anak perempuannya mangsa berusia 10 tahun berada di rumah.

“Anak mangsa memaklumkan seorang wanita itu meminta bantuannya untuk dibelikan kad tambah nilai di kedai berdekatan.

“Apabila anak mangsa kembali ke rumahnya didapati wanita itu sudah tiada dan almari di dalam rumah digeledah.

“Mangsa melaporkan kehilangan wang tunai sebanyak RM5,000 yang disimpan dalam laci almari ,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Nasri berkata, bertindak atas maklumat itu, anggota Balai Polis Desa Kencana ke rumah suspek di Sahabat Tiga, Desa Kencana dan berjaya menahan dua lelaki dalam sebuah kereta di hadapan rumah itu.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut di rumah itu kemudiannya menahan suspek wanita yang bersembunyi dalam longgokan pakaian.

“Suspek wanita itu kemudiannya menunjukkan barang kes yang disembunyikan dalam plastik beras di tepi pintu bilik.

“Semua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati wanita itu memiliki enam rekod jenayah lampau.

Katanya, dua lelaki itu pula tidak memiliki sebarang rekod jenayah tetapi masih disiasat.

“Berdasarkan siasatan awal, suspek lelaki yang berusia 22 tahun adalah teman lelaki kepada wanita berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan,” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *