Cukuplah BN Perdaya Orang Sabah Dengan MA63, Kata Shafie

KIMANIS: Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal mengingatkan pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) supaya berhenti memperdayakan orang Sabah dengan menabur janji untuk memperjuangkan hak Sabah, walhal gagal melaksanakannya semasa 50 tahun memerintah.

Ketua Menteri merangkap Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) ini berkata, UMNO dan BN sudah memerintah cukup lama, tapi baru sekarang mereka berjanji mahu melaksanakan 100 peratus Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Shafie ketika berucap di Program Jelajah Pusat Daerah Mengundi (PDM) Seladan, Kampung Tengah, Bongawan, di sini semalam.

“Sudah lama dah…cukuplah mahu menggunakan berbagai taktik. Gelar ini sebagai pilihan raya pertembungan Malaysia-Filipina. Sekarang ini pula berjanji lagi? Sudah 50 tahun, masih mahu janji. Orang Sabah bukan bodoh.

“Jangan hanya cakap, 50 tahun sudah. Alhamdulillah apabila Pakatan Harapan (PH) yang merupakan rakan kerjasama Warisan memerintah negara ini, Perdana Menteri sendiri mempengerusikan jawatankuasa MA63.

“Jika dahulu pengerusinya bukan Perdana Menteri. Kita berterima kasih dengan Tun, sekurang-kurangnya beliau prihatin dan bertanggungjawab untuk mendengar rintihan dan suara rakyat Malaysia di Sabah dan dia menyentuh hati rakyat.

“Beliau telah meluluskan dan mempersetujui beberapa pendekatan yang terkandung dalam MA63. Antaranya seperti pindaan perlembagaan, menyerahkan lembaga Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) kepada Sabah, mengambil alih pengurusan Pulau Sipadan-Ligitan serta 17 perkara yang telah dipersetujui,” katanya semasa ditemui selepas Program Jelajah Pusat Daerah Mengundi (PDM) Seladan, Kampung Tengah, Bongawan, di sini semalam.

Menurutnya, jika dilihat dari segi bantuan pemberian khas, dahulu Sabah hanya mendapat 24 peratus sejak 1969. Selepas itu, barulah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengkaji semula pemberian khas itu pada tahun lalu dan ia ditingkatkan dalam belanjawan tahun ini.

Katanya, pemberian geran khas yang terkandung dalam Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan itu ditingkatkan kepada RM53.4 juta dalam Belanjawan 2020 berbanding hanya RM26.7 juta yang diberikan kepada Sabah semenjak 1969 hingga 2018.

Mohd Shafie berkata, biarpun Sabah menerima pemberian khas itu namun, formula yang digunakan masih perlu dibincangkan.

Beliau berkata, perbincangan mengenai beberapa perkara termaktub dalam MA63 akan diteruskan sehingga tahun ini agar keutamaan dapat diberikan kerana sehingga kini, sudah 17 perkara telah dipersetujui.

Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menerusi sebuah program ceramah sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis pada Rabu berjanji untuk melaksanakan 100 peratus Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sekiranya BN kembali berkuasa.

Katanya, itu bukan sebarang janji. Ia harus dilaksanakan biarpun ada kekangan namun, tidak mustahil ia akan dilakukan.

Malah, akujanji akan dilakukan dalam belanjawan setiap tahun untuk memberikan peruntukan tertentu kepada Sabah dan Sarawak dan kedua-dua negeri itu boleh menentukan sendiri pembangunan yang ingin dilaksana.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *