Sorok Syabu Di Seluar Dalam, Wanita Indonesia Ditahan Di Terminal Feri Tawau

Suspek ditahan bersama syabu cuba diseludup ke negara jiran.

TAWAU: Seorang wanita warga Indonesia bakal berdepan hukuman mati mandatori selepas ditahan atas dakwaan memiliki dadah jenis syabu seberat 250.55 gram di Terminal Feri Tawau, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 2.15 petang itu, suspek, 38, dikatakan menyembunyikan dadah tersebut dalam baju dan seluar dalam yang dipakainya dipercayai bagi mengelak dikesan pihak berkuasa dan meloloskan diri ke Indonesia.

Bagaimanapun, usaha itu gagal apabila pihak berkuasa menemui wanita itu dalam keadaan mencurigakan ketika melintasi kawasan pemeriksaan sebelum menaiki feri.

Difahamkan, polis menahan wanita itu sebelum mengarahkannya ke bilik pemeriksaan untuk tindakan lanjut.

Hasil pemeriksaan tubuh yang dilakukan, polis menemui beberapa bungkusan berisi hablur putih dipercayai dadah jenis syabu disimpan dalam pakaian suspek.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas ketika dihubungi, mengesahkan penahanan tersebut.

“Sebanyak tiga bungkusan yang berbalut tisu dan salotep berwarna coklat ditemui pada poket berzip baju yang dipakai mangsa.

“Selain itu, polis turut menemui dua lagi bungkusan yang serupa disimpan dalam poket berzip sebelah kanan seluar dalam pendek wanita tersebut,” katanya.

Tambah Peter, pemeriksaan lanjut ke atas lima bungkusan itu mendapati setiap satu daripadanya mengandungi satu plastik lutsinar yang berisi hablur jernih dipercayai syabu seberat 250.55 gram.

“Sehubungan itu, suspek ditahan dan polis merampas semua dadah berkenaan yang dianggarkan bernilai RM22,500.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *