Kes Video Seks: Jabatan Peguam Negara Tidak Akan Mendakwa Sesiapa – Tommy Thomas

Peguam Negara, Tommy Thomas di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. 

KUALA LUMPUR: Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas berkata pihaknya memutuskan tidak akan mendakwa mana-mana pihak berhubung kes video seks yang dikaitkan dengan seorang menteri.

Tommy berkata, setelah menyemak keterangan yang dikumpulkan dan dikemukakan oleh polis kepada jabatannya, Timbalan Pendakwa Raya sebulat suara mengesyorkan tiada pertuduhan boleh dibuat berhubung isu video itu.

“Saya sudah menerima syor terbabit dan membuat keputusan tidak mendakwa mana-mana pihak. Selaras dengan amalan biasa, penyiasatan boleh dibuka semula jika dan apabila keterangan baru diperoleh,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, sejak 13 Jun tahun lalu, pihaknya dan PDRM secara bersama meneliti kertas siasatan berkaitan dengan video seks dengan beberapa perbincangan diadakan untuk menyemak keterangan dikumpulkan PDRM pada setiap peringkat penyiasatan.

Siasatan dijalankan di bawah seksyen-seksyen 377B dan 377D Kanun Keseksaan. Ramai saksi ditemubual, selain tangkapan dan reman beberapa saksi berkaitan.

“Pelbagai keadaan menyumbang kelewatan dalam melengkapkan siasatan ini, terutamanya masa yang lama diambil sebelum laporan forensik dimuktamadkan.

“Ketika siasatan, proses undang-undang perlu dipatuhi, keperluan prosedur dan teknikal untuk analisis forensik yang wajar perlu diikuti,” katanya.

Perkara ini kata beliau termasuk menangani kekangan dan prosedur kerajaan untuk mendapatkan kelulusan kewangan tambahan bagi membolehkan PDRM melengkapkan penyiasatan.

“Video berkenaan dihantar untuk ditentukan ketulenan dan pengecaman wajah dalam dan luar negara. Pernyataan saksi direkod polis, keterangan dokumentari dikumpulkan dan analisa forensik adalah sebahagian kertas siasatan yang dirujuk kepada jabatan ini untuk keputusan.

“CyberSecurity Malaysia membuat kesimpulan biarpun video terbabit tulen, pengecaman wajah tidak dapat dipastikan kerana resolusi rakaman video yang rendah yang mana analisis sudah dijalankan,” katanya.

Tommy menjelaskan disebabkan dapatan tidak konklusif itu, PDRM menghantar untuk dianalisa secara bebas oleh pakar forensik di Amerika Syarikat dan menerima keputusan analisa pada Disember lalu.

“Laporan bebas ini mengesahkan dapatan CyberSecurity, antara lainnya, ‘kegagalan mengenal pasti individu-individu dalam video tular itu disebabkan resolusi yang rendah dan kualiti video dan rangka video yang sedikit untuk membolehkan suspek dilihat dengan jelas’.

“Secara berasingan PDRM juga menerima suatu laporan analisa dibuat orang persendirian tanpa diminta. Laporan mengesahkan dapatan kedua-dua laporan di atas bahawa pengenalan identiti tidak boleh dibuat secara konklusif berdasarkan analisa pengecaman wajah,” katanya.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *