Karim Mahu Kimanis Jadi Kawasan Ekopelancongan

KIMANIS, 9 Jan: Calon Parti Warisan Sabah (Warisan) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis Datuk Karim Bujang mempunyai visi untuk menjadikan Kimanis sebagai kawasan tumpuan industri ekopelancongan sekiranya diberikan mandat pada 18 Jan ini.

Katanya, kawasan seperti Membakut dan Bongawan mempunyai potensi besar kerana memiliki landskap, bentuk muka bumi dan keunikannya tersendiri.

Beliau berkata industri ekopelancongan juga dapat membuka peluang pekerjaan bagi penduduk tempatan untuk menjana pendapatan.

“Kimanis merupakan kawasan yang mempunyai pemandangan indah, bermula dari tanah tinggi di Banjaran Crocker hingga ke kawasan sawah padi, sungai dan pantai…malah di Binsulok terdapat kawasan paya bakau.

“Saya gambarkan satu hari nanti tempat ini akan menjadi tempat amat menarik sekali, dengan adanya industri-industri tertentu orang boleh bekerja dan pelancong boleh datang,” katanya kepada pemberita semasa berkempen di Kampung Sri Serbang, Bongawan di sini, hari ini.

PRK Kimanis bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Warisan dan Barisan Nasional (BN). Warisan mempertaruhkan Karim, 67, manakala BN meletakkan Ketua Bahagian UMNO Kimanis, Datuk Mohamad Alamin, 48, sebagai calon.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 18 Jan, manakala pengundian awal pada 14 Jan.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *