Guru Besar Didakwa Beri Kontrak Pada Anak

KOTA KINABALU, 9 Jan: Guru besar di sebuah sekolah rendah di Sipitang mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memberi kontrak kepada anaknya membabitkan pembekalan Rancangan Makanan Tambahan Sekolah (RMTS) bernilai RM29, 580, pada 2016.

Margreth Francis@Majidah, 58, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Abu Bakar Manat.

Mengikut kertas pertuduhan, Margreth yang ketika itu sebagai Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Solob, Sipitang menggunakan kedudukannya membuat keputusan meluluskan pemberian pembekalan RMTS bagi tempoh 2016 kepada syarikat Hakim Enterprise milik anaknya Hafizul Hakim  Abdul Majid yang mana tertuduh mempunyai kepentingan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di SK Solob, Sipitang pada 7 Januari 2016 dan didakwa mengikut Seksyen 23  (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh di hukum penjara selama tempoh tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Faliq Basirudin.

Terdahulu, pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin tempatan serta syarat tambahan iaitu tertuduh diarahkan melapor diri di pejabat SPRM Tawau dua bulan sekali, dan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.

Margreth yang diwakili peguam Jacquelene Danica L Vun dalam rayuan memohon jaminan dikurangkan memandang ketika tertuduh akan berpencen pada 27 Feb depan selain memberi kerjasama penuh kepada SPRM apabila dipanggil untuk proses siasatan.

Mahkamah kemudiannya menetap ikat jamin sebanyak RM7, 000 dengan deposit RM4, 000 dan seorang penjamin tempatan selain pasport antarabangsa diserahkan ke mahkamah.

Mahkamah menetapkan  18 Feb depan sebagai tarikh pengurusan kes manakala pada 17 Jan ini, tertuduh diminta menyerahkan pasport antarabangsa untuk simpanan mahkamah.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *