Dulu Enggan Bela Hak Sabah, Kini UMNO Raih Undi Di Kimanis

Shafie semasa berucap dalam Pertemuan bersama pengundi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sinuko,

KIMANIS: Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal meminta agar rakyat Kimanis mengundi calon Warisan bagi memastikan hak-hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dapat terus diperjuangkan.

Ketua Menteri berkata, jika rakyat memilih UMNO-BN (Barisan Nasional), beliau yakin pindaan Perkara 1(2) dalam Perlembagaan Malaysia tidak akan dapat dilakukan kerana keengganan wakil rakyat UMNO menyokong usaha meminda perlembagaan bagi mengembalikan status Sabah sebagai sebuah wilayah.

Beliau berkata, bila undi mereka (UMNO) diperlukan bagi membantu mengembalikan kedudukan Sabah daripada sebuah negeri kepada wilayah, mereka tidak mengundi. Namun, sekarang mereka minta diundi di Kimanis.

“Sekarang PAS datang sini dengan UMNO minta undi rakyat. Datuk Dr Jeffrey Kitingan pula semasa di Parlimen dia menyatakan menyokong pindaan itu, namun bila datang ke Kimanis, dia tidak sokong pula,” katanya semasa berucap dalam Pertemuan bersama pengundi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sinuko, di sini semalam.

Beliau kesal apabila Warisan didakwa mencuri kerajaan. Warisan tidak mencuri sesiapa kerana parti itu bekerjasama dengan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Pakatan Harapan untuk membentuk kerajaan negeri Sabah.

Katanya, tiada siapa yang dicuri, Datuk Seri Panglima WIlfred Madius Tangau datang secara suka rela kepada Warisan kerana mahu bekerjasama berjuang demi pertahankan hak Sabah.

“Pilihan raya ini bukan pasal Karim, bukan pasal saya, ini pasal negeri Sabah, rakyat Sabah yang perlu kita bela.

“Kita mahu mengembalikan status Sabah sebagai wilayah bukan negeri. Kedudukan Sabah diturunkan daripada wilayah kepada negeri semasa pindaan perlembagaan pada 1976.

“Pindaan itu menjadikan status Sabah dan Sarawak sama dengan negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia.

“Oleh itu, kita mahu pindaan dilakukan untuk mengembalikan semula status Sabah dan Sarawak sebagai sebuah wilayah.

“Atas sebab itu, bila kita menang di Kimanis ini, kita akan bawa pindaan ini semula ke parlimen,” jelasnya.

Tambahnya, Tun Mahathir Mohamad banyak mendengar permintaan Sabah dalam MA63 dan banyak lagi yang akan kerajaan usahakan untuk mendapatkan semula hak-hak Sabah dalam perjanjian berkenaan.

Bagaimanapun, berikan kerajaan masa untuk mendapatkan dan mmeperjuangkan hak-hak Sabah.

Dengan itu, sokongan penduduk Kampung Sinuko dan rakyat Kimanis amat diharapkan dalam memperjuangkan hak-hak Sabah.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *