Calon Warisan Nafi Dakwaan Peroleh Sijil Pendidikan Palsu

KIMANIS, 8 Jan: Calon Parti Warisan Sabah (Warisan) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, Datuk Karim Bujang menafikan dakwaan bahawa sijil pendidikan diperoleh beliau sewaktu menyambung pengajian di United Kingdom adalah palsu.

Beliau berkata pendidikan dalam bidang Pengajian Perniagaan itu ditaja oleh Perbadanan Ekonomi Sabah (Sedco) selama dua tahun sebelum berjaya memperoleh diploma setaraf ijazah di sebuah universiti di negara berkenaan.

“Saya diberi cuti belajar dengan gaji penuh pada 1977 dan 1978 oleh Sedco, memang ada salinan sijil, saya minta kita jangan gaduh, jangan tuduh saya memalsukan sijil.

“Sijil ini saya peroleh 40 tahun lepas, ada yang antara kamu belum lahir, jadi bila keluar di Facebook, anak saya terpanggil untuk buktikan bapa mereka ini bukanlah seorang penipu atau tukang pemalsu ijazah,” katanya ketika ditemui di Pusat Mengundi Daerah Batu 6 dekat sini, hari ini.

Sebelum ini, tular dalam media sosial mengenai kesahihan sijil pendidikan calon Warisan itu yang didakwa diperoleh daripada sebuah universiti di United Kingdom.

Isu itu turut menjadi bahan kempen oleh parti pembangkang dalam media sosial.

Sementara itu, Karim berkata Barisan Nasional (BN) sengaja mempolitikkan cadangan pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS) dan menjadikannya sebagai bahan kempen pada PRK Kimanis, sedangkan idea pas itu datang daripada BN sendiri dan kajian dilakukan sewaktu parti pembangkang berkenaan memerintah negara.

“Namun ditakdirkan kerajaan BN kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 lepas,” katanya.

Bagaimanapun, idea pelaksanaan PSS diteruskan kerana kerajaan negeri sekarang, Warisan dengan kerjasama Pakatan Harapan melihat sebarang cadangan demi kebaikan akan cuba dilaksana walaupun idea asalnya daripada parti yang memerintah Sabah sebelum ini.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *