PSS Tiada Dalam Manifesto WARISAN – UMNO

Penelitian Abdul Rahman terhadap 13 perkara manifesto WARISAN langsung tidak menyebut soal Pas Sementara Sabah.

MEMBAKUT: Manifesto Parti Warisan Sabah (WARISAN) tidak menyebut isu berkaitan Pas Sementara Sabah (PSS).

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata penelitiannya terhadap 13 perkara manifesto parti itu langsung tidak menyebut soal PSS.

“Ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), mereka main ‘tapuk-tapuk’ (sembunyi). Daripada Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ke Datuk Darell Leiking dan kepada Datuk Karim, tiada seorang pun daripada mereka bercakap mengenainya,” katanya ketika berkempen di Kampung Bawan Membakut, di sini, malam tadi.

Abdul Rahman menyifatkan WARISAN melakukan pembohongan kepada pengundi pada PRU-14 kerana tidak menyebut mengenai isu yang dianggap sebagai ancaman kepada Sabah dari segi keselamatan, ketersediaan pekerjaan dan peluang pendidikan.

Walaupun memanggil wakil parti pembangkang tempatan untuk berbincang mengenai pelaksanaan PSS, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, tiada sesiapa dalam kalangan pembangkang berupaya menghentikan pelaksanaannya.

Katanya, kerajaan sepatutnya membincangkan isu itu sebelum mengumumkan PSS akan dilaksanakan pada 1 Jun ini.

“Mereka tidak mendengar kerana mereka adalah kerajaan. Satu-satunya cara ialah bagi rakyat Kimanis memberi ‘tamparan politik’ melalui PRK ini.

“Jika tidak, ini bermakna satu undi untuk calon WARISAN (Datuk Karim Bujang) adalah satu undi untuk PSS,” katanya.

Abdul Rahman berkata, PSS adalah masa depan yang suram bagi Sabah kerana pelaksanaan itu ibarat membentang permaidani merah untuk pendatang asing tanpa izin (PATI) tinggal selesa di Sabah dan menggunakan bekalan air serta elektrik secara haram, selain ‘merompak’ barang bersubsidi daripada rakyat yang layak.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *