PRK Kimanis: Rakyat Perlu Cipta Sejarah Tumbangkan Kubu Kuat BN – Azis

Gambar Dato’ Mohd Azis Bin Jamman

KOTA KINABALU: Ketua Wira Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Azis Jamman mahu rakyat Kimanis mencipta sejarah mengubah senario politik Kimanis dengan memilih calon Warisan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis pada 18 Januari ini.

Beliau berkata, memberi kemenangan kepada UMNO tidak akan mengubah hakikat bahawa di Dewan Undangan Negeri (DUN) hanya tinggal satu sahaja kerusi UMNO.

Manakala, di peringkat Persekutuan, terdapat pembangkang. Jadi marilah buat perubahan dan menjadi sebahagian daripada kerajaan.

“Sudah hampir 26 tahun Kimanis berada dibawah BN. Malah ‘Bossku’ tidak berkunjung ke Kimanis untuk tinjauan mesra sebaliknya beliau datang ke Membakut. Kenapa? Ia kerana mereka tahu realitinya beliau tahu, BN gagal di Kimanis dan Pekan Kimanis kelihatan seperti sunyi seperti ‘ghost town’ biarpun selepas 26 tahun memerintah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Azis, yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri berkata, berapa banyak pembangunan yang terbengkalai di Kimanis kerana tertipu dengan janji-janji manis UMNO/BN tentang Projek Terminal Minyak & Gas Kimanis (SOGT) akan membuka peluang pekerjaan dan membawa pembangunan di Pekan Kimanis.

Katanya, projek itu dijangka membuka peluang perkerjaan dan akan membangunkan Pekan Kimanis dan kawasan sekitarnya? Namun apa yang berlaku. Tiada peluang pekerjaan untuk penduduk setempat dan tiada pusingan ekonomi di kawasan sekitar.

“Malah, impak projek pembangunan SOGT pun tidak dapat dirasai oleh penduduk setempat. Ia dimonopoli oleh kontraktor luar. Gas milik Sabah tetapi kilang memproses gas di bina di Sarawak.

“Rakyat Kimanis dan Sabah pada keseluruhannya hanya mampu menjadi penonton kepada gas-gas milik Sabah di hantar ke Bintulu Sarawak dan inilah hasil kerja UMNO/BN sewaktu mereka berkuasa. Natijahnya, Parlimen Kimanis adalah apa yang anda lihat hari ini,” jelasnya.

Mengenai persaingan satu lawan satu dalam PRK Kimanis antara calon Warisan, Datuk Karim Bujang dan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Alamin, beliau tidak melihat perkara itu sebagai sesuatu yang perlu dibimbangkan.

Beliau berkata, BN seharusnya lebih bimbang kerana semua parti dalam Pakatan Harapan (PH) dan parti tempatan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada Warisan bagi menumbangkan BN di Kimanis.

“Mengapa rakyat Kimanis harus memilih menjadi pembangkang bila mereka mempunyai peluang menjadi sebahagian daripada kerajaan.

“Sudah tentu kita tidak memandang rendah pembangkang tapi kita lebih daripada gembira menjadi ‘underdog party’ kerana Kimanis sentiasa menjadi kubu kuat mereka,” jelasnya.

Azis juga yakin mampu menumbangkan BN kerana Sabah bukan Semenanjung Malaysia. Orang Sabah tahu apa mereka mahukan.

“Kita sedang memperjuangkan hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Dalam tempoh setahun tujuh bulan, 17 daripada 21 perkara termaktub dalam MA63 berjaya diselesaikan.

“Kami juga terus menuntut apa seharusnya menjadi hak kita maka, kita perlukan suara yang lebih besar di Parlimen,” ujarnya.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *