PRK Kimanis Beri Kelebihan Kepada BN

Bung, Mohamad Hasan, Najib dan pemimpin lain ketika mengiring calon BN Datuk Mohamad Alamin ke pusat penamaan calon di Beaufort pada Sabtu lalu.

BEAUFORT: Ketua Perhubungan Umno Sabah Dato’ Sri Bung Radin menyifatkan perlawanan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohamad Alamin dan pencabarnya Datuk Karim Bujang Parti Warisan Sabah (WARISAN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis pada 18 Januari depan sebagai satu kelebihan kepada BN untuk memenangi kawasan itu.

Katanya, sekali pun menyedari cabarannya sengit berhadapan dengan parti pemerintah namun semangat kebangkitan penyokong-penyokong BN khususnya rakyat di kawasan Kimanis begitu tinggi menjadi penyuntik semangat ahli dan pemimpin BN dan UMNO terus berjuang dan berkerja mempastikan kemenangan calon BN pada PRK kali ini.

“Kita melihat semangat serta sokongan mereka semasa mengiringi calon ke pusat penamaan calon begitu tinggi, saya berharap memontum ini kekal sehingga ke hari mengundi dan seterusnya,” katanya ketika ditemui selepas mengiring calon BN ke Pusat Penamaan Calon di Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir baru-baru ini.

Antara yang lain yang mengiringi calon BN Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan, Pengerusi Lembaga Penasihat BN Datuk Seri Mohd Najib Razak, Barisan Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan lebih 2,000 penyokong.

Bung yang juga pengarah Gerakan BN PRK Kimanis berkata, jentera perlu berkempen dari rumah ke rumah bagi memberikan mesej jelas kepada rakyat akan segala kepincangan yang dihadapi oleh rakyat ketika ini setelah hampir dua tahun kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan WARISAN mengambil alih pucuk pemerintahan negara.

“Keadaan negara dan negeri semakin kucar kacir. Ekonomi semakin parah malah memperkenalkan Pas Sementara Sabah (PSS) yang dilihat memberi kesan negatif terhadap masa depan rakyat Sabah khususnya genarasi muda.

“Saya berharap rakyat di Kimanis lebih bijak menilai, jangan terpengaruh dengan segala pemberian dan pengumuman peruntukan semasa PRK. Itu budaya mereka, hanya untuk memancing undi,” katanya.

Dalam pada itu Bung yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO mengingatkan jentera BN agar berhemah semasa berkempen, menghormati budaya tempatan, mengelak dari kata-kata caci merca sehingga menyentuh peribadi individu kerana itu bukan budaya BN.

Sehubungan dengan itu, Bung mahu jentera parti dipertingkatkan dari masa ke semasa ziarah rumah ke rumah jelaskan isu yang sebenarnya kepada rakyat agar mereka memahami dan menolak kerajaan yang dipimpin PH dan WARISAN.

Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *