Pemuda UMNO Beaufort Buat Laporan Polis Terhadap Warisan

BEAUFORT: Pemuda Umno membuat laporan polis pada Isnin berkenaan sambutan Hari Krismas dan Tahun Baharu di Membakut yang menawarkan hadiah bertuah kepada pengunjung selepas proses Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis selesai Sabtu lalu.

Laporan dibuat oleh Ketua Pemuda Umno Beaufort, Mohd Fadzil Misdeh yang mendakwa tindakan Parti Warisan Sabah (Warisan) itu menyalahi Seksyen 8 dan 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Saya mendapat tahu mengenai dakwaan salah laku ini melalui media sosial WhatsApp dan Facebook di mana hadiah berupa motosikal, hamper dan sebagainya diberi kepada pengunjung dalam acara itu,” katanya.

Ketua Menteri merangkap Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada Isnin berkata beliau pertama kali mendengar laporan polis dibuat berkaitan sambutan Krismas.

Menurutnya, kerajaan mahupun Warisan tiada hak membatalkan sebarang sambutan Krismas selepas 25 Disember.

“Sambutan berkenaan mungkin sudah lama dirancang dan kebetulan ia dibuat dengan hari Penamaan Calon pada 4 Januari lalu,” kata Shafie bila ditanya mengenai isu tersebut.

Sementara itu, naib presiden Warisan Datuk Peter Anthony menafikan acara tersebut adalah anjuran partinya ataupun Persatuan KDM Malaysia.

Ia adalah hasil kerjasama masyarakat setempat terutama dari Membakut yang berjaya mengutip dana bagi tujuan penganjuran Sambutan Krismas dan Tahun Baharu 2020, katanya.

Peter berkata ianya adalah perkara biasa dan tradisi di Sabah memberi hadiah semasa perayaan sedemikian.

Pada Ahad, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan sebuah portal sebagai berkata bahawa BN akan membuat laporan polis terhadap apa yang didakwa sebagai pelanggaran Akta kesalahan Pilihan Rayaoleh parti kerajaan ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

Shafie dan Peter serta calon PRK Kimanis Warisan Datuk Karim Bujang adalah antara pemimpin Warisan, Upko dan Pakatan Harapan turut menghadiri majlis sambutan tersebut.

PRK Parlimen Kimanis pada 18 Jan menyaksikan pertandingan satu penjuru antara Warisan yang diwakili oleh Karim dan BN yang mencalonkan Datuk Mohamad Alamin.

SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *