Jangan Jadikan PSS Isu Untuk Raih Undi

KIMANIS: Calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Karim Bujang menyifatkan taktik pembangkang memainkan isu Pas Sementara Sabah (PSS) di Kimanis sebagai politik berfikiran sempit.

Beliau berkata, PSS lebih kepada isu pentadbiran maka, biarkan pentadbiran yang menguruskan dan menyelesaikan permasalahan berkenaan.

Katanya, beliau tidak melihat PSS sebagai satu isu politik kerana dokumen berkenaan adalah tanggungjawab pihak pentadbiran negeri dalam memberikan dokumen yang lebih baik kepada penerimanya.

“Tindakan menjadikan PSS sebagai isu politik tidak akan membantu menyelesaikan masalah warga asing yang berada di Sabah.

“Selepas mendengar taklimat Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Pendaftaran Negara, saya yakin isu ini mampu diselesaikan dengan baik sekiranya semua pihak mempunyai keinginan yang sama dalam membantu menyelesaikan masalah dokumentasi warga asing yang berada di Sabah.

“Keadaan itu akan jadi rumit jika ada pihak yang menjadikan isu ini sebagai isu politik,” katanya ketika diminta mengulas mengenai tindakan pembangkang memainkan isu Pas Sementara Sabah (PSS) dalam PRK Parlimen Kimanis.

PSS adalah kad biometrik bagi menggantikan dokumen IMM13, Kad Burung Burung dan Sijil Banci yang diberikan kepada warga asing yang merupakan pelarian perang di Sabah suatu ketika dahulu.

Karim berkata, pembangkang akan terus membangkang menggunakan isu yang boleh menjadikan mereka popular dari parti kerajaan.

Namun, beliau berpendapat agar rakyat di Sabah lebih mengutamakan keharmonian dan harus menerima hakikat bahawa PSS adalah usaha murni kerajaan dalam menyelesaikan isu warga asing yang memegang ketiga-tiga dokumen berkenaan.

Memainkan isu PSS tidak akan mampu membantu menyelesaikan masalah warga asing ini dan beliau berharap pembangkang lebih bijak dalam membantu menyelesaikan isu ini demi kesejahteraan rakyat di Sabah.

PSS dijangka dikeluarkan kepada 136,055 warga asing yang memegang dokumen IMM13, Kad Burung Burung dan Sijil Banci bermula 1 Jun ini.

Pas berkenaan dikeluarkan bagi menggantikan ketiga-tiga dokumen sedia ada yang dimiliki warga asing itu dengan tujuan memudahkan rekod warga asing dilakukan secara berpusat dan seragam.

Tiga dokumen berkenaan kebanyakannya dikeluarkan kepada warga Filipina dimana, IMM13 dikeluarkan kepada warga asing berstatus pelarian, Kad Burung Burung dikeluarkan pada 1970 hinggan 1990-an sementara Sijil Banci dikeluarkan semasa program pemutihan Pasukan Petugas Khas Persekutuan.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *