Bayaran Fasa Pertama BSH 2020 Diagihkan Bermula 20 Januari

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan akan meneruskan program Bantuan Sara Hidup (BSH) bagi tahun 2020 berjumlah RM300 bagi kategori isi rumah yang akan mula diagihkan pada 20 Januari 2020.

Proses agihan akan melalui fasa tapisan yang diperoleh daripada agensi kerajaan yang berkaitan bagi memastikan golongan berpendapatan rendah (B40) yang benar-benar layak sahaja untuk menerima BSH 2020.

“Pembayaran fasa pertama sebanyak RM300 bagi setiap isi rumah akan dikreditkan terus ke akaun bank masing-masing menggunakan maklumat akaun bank semasa BSH 2019,” menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini.

Peruntukan yang dibuat Kementerian Kewangan sebanyak RM1.0 bilion itu bakal memanfaatkan hampir 3.8 juta penerima bagi kategori isi rumah.

“Bagi memastikan program BSH 2020 disasarkan kepada mereka yang benar-benar layak, tempoh permohonan dan pengemaskinian akan dibuka mulai 1 Februari 2020 hingga 15 Mac 2020.

“Selain daripada kategori isi rumah, permohonan untuk BSH 2020 juga dibuka bagi kategori bujang berumur 40 tahun dan ke atas seperti yang diumumkan dalam Ucapan Belanjawan 2020,” menurut kenyataan itu lagi.

Sementara itu bagi penerima di kawasan pedalaman bagi kategori isi rumah yang tidak mempunyai sebarang akaun, bayaran akan dibuat mulai 1 Februari 2020 secara tunai.

Sebarang pertanyaan, boleh menghubungi talian bebas tol 1800-88-2747 serta emel kepada [email protected].

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *