Agenda Pembangunan Sabah Terjejas Semasa Shafie Menteri BN, Kata Bekas Menteri

Abdul Rahman Dahlan

KOTA KINABALU: Agenda pembangunan Sabah terjejas semasa pemimpin Warisan, Mohd Shafie Apdal menjadi menteri Barisan Nasional kerana beliau bergaduh dengan kerajaan Sabah, kata seorang pemimpin Umno hari ini.

Ahli majlis tertinggi, Abdul Rahman Dahlan berkata Shafie tiada sebab untuk tidak memberikan peruntukan terbanyak kepada Sabah semasa beliau menjadi menteri kemajuan luar bandar dan wilayah semasa pentadbiran BN dulu.

Rahman berkata kementerian Shafie mendapat peruntukan kedua terbesar semasa Najib Razak menjadi perdana menteri, dan berbilion ringgit Shafie boleh gunakan pada bila-bila masa saja.

Tetapi, Shafie bergaduh dengan kerajaan Sabah dan ketua menteri ketika itu, Musa Aman. Sepanjang 7 tahun Shafie memegang portfolio kementerian, agenda pembangunan Sabah terjejas, katanya.

“Semasa beliau jadi menteri, beliau ada bajet dalam tangan, kenapa beliau tidak bantu selesaikan isu air dan elektrik di Sabah?” kata Rahman.

“Saya juga pernah jadi menteri. Saya bantu banyak negeri. Saya bagi kepada Perlis, Pahang tetapi paling banyak saya beri kepada Sabah,” katanya, yang pernah memegang portfolio perumahan.

Beliau berkata hal peruntukan adalah budi bicara menteri.

Semalam, Shafie, yang juga ketua menteri, ketika menjawab kritikan Umno berkata beliau mempunyai bajet yang terhad semasa menjadi menteri BN, dan memanfaatkan sebaik mungkin RM5 bilion yang diperuntukkan kepada kementeriannya ketika itu.

Tetapi Rahman berkata Shafie salah seorang daripada 6 menteri persekutuan dari Sabah dalam Kabinet Najib, dan boleh mengarahkan kementerian memberikan peruntukan lebih kepada Sabah.

“Tiada negeri akan berani lawan dia dan ketika itu beliau ada kuasa untuk buat arahan itu. Tetapi tengok beliau sekarang ini, bercakap dengan Putrajaya mengenai isu royalti minyak 20% supaya beliau boleh bangunkan Sabah. Tiada alasan,” katanya.

“Barapa banyak pun beliau minta, sehingga hari ini beliau tidak diberi pun royalti 20% itu.”

Sumber: FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *