Warisan Cuba Guna Sentimen Kenegerian, Kata Penganalisis

Mohd Shafie (tiga dari kiri) ketika mengiringi calon Parti Warisan, Datuk Karim Bujang ke Pusat Penamaan Calon di Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun Banir Beaufort Sabtu lalu.

SHAH ALAM – Sentimen atau semangat kenegerian dilihat sebagai antara agenda penting yang cuba ditimbulkan oleh Parti Warisan Sabah (Warisan) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis kali ini.

Penganalisis politik, Dr Mohd Azizudin Mohd Sani berkata, sebagai parti yang hanya wujud di Sabah, Warisan jelas cuba menggunakan sentimen kenegerian dalam usaha meraih sokongan rakyat.

Menurutnya, sentimen sama (kenegerian) turut dimainkan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu dan ternyata memberikan kesan sehingga berjaya memberikan mandat kepada Warisan.

“Dia cuba nak ‘highlight’ bahawa calon UMNO dan UMNO ini dari Semenanjung manakala calon Warisan dari Sabah. Jadi lebih baik undi calon dari Sabah dan bukannya ejen kepada UMNO yang berpusat di Semenanjung.

“Dalam konteks sebelum ini, memang BN (Barisan Nasional) nak calon dari PBS (Parti Bersatu Sabah) tetapi yang bertanding calon UMNO. UMNO dari Semenanjung dan Warisan hanya ada di Sabah.

“Sabah pun ada sentimen (kenegerian) macam di Sarawak cuma sentimen itu tidak kuat macam di Sarawak tapi tengah berkembang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Mohd Azizudin berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Menteri Sabah yang juga Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang mengajak rakyat Sabah untuk menolak calon ‘berhati UMNO Kuala Lumpur’ pada PRK berkenaan.

PRK Kimanis menyaksikan pertembungan antara calon Warisan, Karim Bujang dan calon BN, Mohamad Alamin.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 18 Januari ini untuk hari pengundian manakala pengundian awal empat hari sebelum itu.

Mengulas lanjut, Mohd Azizudin berkata, kedua-dua calon tempatan yang bertanding pada PRK kali ini adalah calon yang kuat daripada parti-parti yang bertanding.

Katanya, kedua-dua calon dilihat memiliki kekuatan yang sama untuk meraih undi pada PRK kali ini.

“Kedua-dua calon ini adalah anak tempatan. Jadi dua-dua sama kuat. Bagi Warisan, mainkan isu yang boleh tolak calon BN,” katanya.

Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *