Saya Dinasihat Senyum Selalu, Kata Karim

Datuk Karim Bujang

MEMBAKU: “Saya dinasihatkan senyum selalu, jadi saya senyumlah,” kata calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Karim Bujang.

Karim berkata, beliau dinasihatkan supaya senyum selalu sepanjang berkempen mencuit orang ramai yang menghadiri program perjumpaannya di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bandau, di sini, hari ini.

Sambil mengakui tidak tahu sebab nasihat itu diberikan, beliau secara berseloroh menjelaskan mula mematuhi nasihat berkenaan ketika bertemu pengundi sejak malam tadi.

“Malam tadi pun mulai senyum saja. Barangkali jika serius kelihatan tidak mesra, tak tahulah,” katanya disambut gelak ketawa orang ramai yang hadir pada program itu.

Hadir sama Ketua Penerangan WARISAN, Datuk Dr Yusof Yacob; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau, Datuk Saddi Abdul Rahman dan ADUN Liawan, Rasinin, Koutis.

Sebelum itu, Karim menyatakan beliau hanya mahu menyebut dua perkara dalam ucapannya di PDM itu iaitu berterima kasih kepada penyokongnya yang hadir pada program berkenaan dan memohon maaf.

Beliau meminta maaf kesalahan yang mungkin pernah dilakukannya sepanjang menjadi wakil rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan sebelum 2004 yang mana ketika itu Membakut adalah sebahagian daripada DUN Bongawan sebelum dipisahkan melalui persempadanan semula kawasan pilihan raya.

“Dulu saya ADUN sampai 2004, begitulah lamanya itu. Waktu itu kawasan ini masuk dalam DUN Bongawan, lepas itu pecah dan diwujudkan DUN Membakut, masa itulah kita berpisah dan begitulah jauhnya masa itu.

“Jadi kalau ada kesilapan, saya mohon maaf dan jangan beritahu orang lain,” katanya secara berseloroh.

Beliau kemudian mengakhiri ucapan selama kira-kira dua minit itu dengan sedikit pesanan kepada penyokong yang hadir.

“Percayalah PRK ini banyak menentukan masa depan kita. Saya cuma ditakdirkan jadi calon dan calon ini kalau tuan-tuan bagi sokongan kita akan menang dan saya yakin kita boleh,” katanya.

Sebelum 2004, DUN Membakut adalah sebahagian daripada DUN Bongawan sebelum diasingkan menjadi dua kawasan menerusi pembentukan kawasan baharu Parlimen iaitu Kimanis dalam persempadanan semula kawasan pilihan raya 2004.

Selepas itu, Karim terus berkhidmat sebagai ADUN Bongawan mewakili UMNO sebelum tempatnya diambil alih Datuk Mohamad Alamin pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang kini mencabarnya dalam pertandingan satu lawan satu di PRK Kimanis.

Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *