Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Catat Kemajuan Fizikal 22 Peratus

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya memaklumkan projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah setakat 31 Disember lalu, mencatat kemajuan fizikal 22 peratus secara keseluruhan bagi 12 pakej asal dan akan siap sepenuhnya secara berfasa selewat-lewatnya Jun 2023.

Kementerian itu dalam kenyataan hari ini turut menyatakan bahawa tiga pakej tambahan yang baharu juga dijangka siap akhir 2023.

“Tempoh pelaksanaan 12 kontrak itu mengalami sedikit kelewatan berbanding tempoh siap asal (Jun 2022) disebabkan isu proses pengambilalihan balik tanah dan halangan di tapak pembinaan serta isu tempoh transisi atau pertukaran kaedah pelaksanaan projek daripada Rakan Pelaksana Projek (PDP) kepada kontrak konvensional,” jelas kenyataan itu.

Ia menegaskan projek LPB Sabah tetap diteruskan pelaksanaannya walaupun setelah kerajaan menamatkan PDP pada 21 September lalu.

Kementerian memaklumkan bahawa pelaksanaan projek itu kini telah ditukar kepada kaedah konvensional kontrak Jabatan Kerja Raya (JKR) iaitu di bawah seliaan JKR Sabah sebagai Penguasa Projek, dan melalui kaedah itu kerajaan akan memperoleh penjimatan kira-kira RM1.2 bilion berbanding kaedah asal PDP.

“Hasil penjimatan berkenaan antara lain membolehkan kerajaan meluluskan tiga pakej tambahan berbanding 12 pakej asal yang sedang dilaksanakan, iaitu membabitkan laluan dari persimpangan Beluran ke Telupid bernilai RM1 bilion yang dijangka ditender pada Mac 2020,” menurut kenyataan itu.

Di samping komitmen untuk meneruskan 15 pakej projek LPB Sabah itu, kerajaan juga telah meluluskan projek membina Lebuhraya TransBorneo menghubungkan Sabah, Sarawak dan Kalimantan.

Fasa satu projek itu menghubungkan Kalabakan, Sabah dengan Simanggaris, Indonesia akan dilaksana tahun ini dengan kos RM600 juta.

Projek berkenaan diumumkan ketika sesi pembentangan Belanjawan 2020 pada Oktober 2019.

“Sebagaimana projek LPB di Sarawak, kos pelaksanaan projek LPB Sabah di samping projek jalan lain di kedua-dua negeri itu akan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan,” menurut kenyataan itu.

Ini termasuk projek Lebuhraya TransBorneo dan projek Sarawak Sabah Link Road yang telah diluluskan kerajaan, yang mana tiada tol akan dikenakan kepada pengguna.

“Pembinaan jalan-jalan utama tanpa tol di kedua-dua negeri itu adalah antara iltizam dan tekad kerajaan bagi memastikan pembangunan sosioekonomi lebih baik dapat dinikmati rakyat di Sabah dan Sarawak,” jelas kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi mengulas dakwaan bahawa projek LPB Sabah terhenti dan tiada sebarang kemajuan. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *