Polis Tahan 5 Remaja Lelaki Rogol Perempuan 14 Tahun

Lima suspek ditahan polis selepas disyaki rogol perempuan berusia 14 tahun. Gambar SNT / Ihsan Polis

KOTA KINABALU: Polis menahan lima remaja lelaki kerana disyaki merogol seorang perempuan berusia 14 tahun sehingga hamil, pada tahun lalu.

Semua suspek berusia 17 hingga 20 tahun itu ditahan dalam tiga serbuan berasingan di sekitar daerah ini selepas bapa kepada mangsa membuat laporan polis, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, siasatan mendapati kejadian pertama pada November lalu apabila seorang suspek yang juga kekasih mangsa menemui gadis itu di rumah abang kandung mangsa.

“Suspek kemudian membawa mangsa ke Teluk Likas sebelum membawa mangsa ke sebuah rumah di Taman Bukit Setia, Sepanggar lalu merogol mangsa bersama empat rakannya.

“Selepas itu, kejadian kedua pada 25 Disember apabila sekali lagi mangsa dirogol oleh kekasihnya bersama dua lagi suspek di rumah yang sama,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, selepas kejadian itu, mangsa tidak memaklumkan kepada sesiapa dan dia menyedari dirinya mengandung selepas tidak datang haid.

“Bapa mangsa yang mengetahui anaknya itu hamil sembilan minggu kemudian membuat laporan polis.

“Berikutan itu, sepasukan polis menjalankan siasatan dan menahan lima lelaki disyaki terbabit merogol mangsa di tiga lokasi sekitar Manggatal,” katanya.

Menurutnya, dua lagi suspek yang masih bebas sedang dikesan dan soal siasat masih dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan iaitu merogol secara berkumpulan,” katanya. -SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *