Iran Isytihar ‘Perang’

Iran mengibarkan bendera merah sebagai tanda membalas dendam.

Tehran: Iran hari ini mengibarkan ‘bendera merah’ sebagai simbolik membalas dendam selepas Amerika Syarikat membunuh Komander kanan Iran, Qasem Soleimani dalam serangan udara di Baghdad.

Stesen televisyen Iran mula menyiarkan bendera yang dikibarkan di atas kubah Masjid Jamkaran bermula semalam.

DailyMail melaporkan, bendera itu sebagai tanda pertumpahan darah dan menuntut keadilan untuk membalas dendam atas pembunuhan itu.

Soleimani yang terbunuh bersama timbalan ketua pasukan tentera Iraq, Hashed Al Shaabi di Baghdad memaksa Iran menuntut bela selepas serangan roket oleh AS di lapangan terbang antarabangsa di Baghdad menyebabkan kematian kedua-dua pemimpin kanan itu.

Dalam siri serangan balas, dua bom meletup di kawasan berdekatan dengan Kedutaan AS di Baghdad, pada Sabtu.

Pada masa sama, dua roket dilancarkan ke pangkalan udara Al-Balad, yang turut menempatkan tentera AS.

Tentera Iraq mengesahkan serangan di kedua-dua lokasi, tetapi memberitahu ia tidak menyebabkan kematian.

Sementara itu, laporan sebelum ini menyebut kedutaan Amerika Syarikat menggesa semua rakyatnya untuk meninggalkan Iraq serta-merta. – DailyMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *