Dikhuatiri Lemas, Lelaki Hilang Belum Ditemukan

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dikhuatiri lemas di Sungai Kagibangan di Kampung Bitoon, Ranau. Foto Ihsan Bomba

RANAU: Seorang Lelaki dikhuatiri lemas ketika menangkap ikan di Sungai Kagibangan di Kampung Bitoon, di Ranau, semalam.

Difahamkan, mangsa keluar dari rumahnya pada 3 petang dengan membawa joran dan beg berisi bekal makanan serta peralatan pancing.

Bagaimanapun, mangsa yang tidak pulang ke rumah sehingga 10 pagi hari ini menyebabkan ahli keluarganya bimbang sebelum menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan jam 10.15 pagi dan seramai empat anggota dikerah ke lokasi berserta satu jentera dan satu kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa turut disertai pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), polis dan penduduk kampung.

“Setakat ini, kawasan operasi SAR diperluaskan radius dua kilometer dari lokasi terakhir mangsa dipercayai hilang.

“Penduduk kampung turut menyediakan satu bot untuk memudahkan pasukan bomba mencari mangsa di permukaan air sungai,” katanya.

Menurutnya, tiada sebarang petanda ditemui setakat ini manakala ahli keluarga memaklumkan mangsa memakai baju berwarna kuning dan seluar panjang berwarna biru.

“Memandangkan keadaan cuaca mulai gelap, kita menangguhkan operasi pada 5 petang dan bersambung jam 7 pagi esok,” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *