PRK Kimanis: Dendangan WARISAN

Abu Bakar Ellah (gambar kiri) dan Francis Landong mengubah suai lirik lagu untuk dijadikan kempen WARISAN sepanjang PRK Parlimen Kimanis. Foto NSTP

“Kalau mahu senang, undilah parti WARISAN,” itu antara bait lirik lagu yang dijadikan kempen bagi Parti Warisan Sabah (WARISAN) sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

Ia dipetik daripada lagu berjudul ‘Pembayaran Ansur-Ansur’ oleh artis tempatan, Thomas Intiang yang dipilih sebagai lagu kempen parti itu.

Lirik lagu itu diubah suai oleh artis tempatan, Abu Bakar Ellah dan Francis Landong.

Lagu itu bertujuan untuk merayu undi calon parti berkenaan, Datuk Karim Bujang.

Abu Bakar yang juga dikenali sebagai Ampal berkata, dia dan Francis sebagai ahli parti itu mengubah lirik berkenaan pagi hari ini.

“Lirik ini belum muktamad lagi tetapi korus diubah kepada ‘Kalau mahu senang, undilah parti WARISAN.

“Kalau mahu maju, undilah Karim Bujang, undilah Parti WARISAN.

“Selain itu, perubahan lirik disumbangkan ahli yang lain juga,” katanya ketika ditemui pada perasmian Cawangan Wawasan Parti Warisan Sabah di Kampung Kelatuan, Kimanis, hari ini.

Sebelum itu, pelancaran disempurnakan Ketua Menteri Sabah yang juga Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Turut hadir menyanyikan lagu itu, Naib Presiden WARISAN, Datuk Peter Anthony, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Mahsiung Banah dan Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis.

Sementara itu, pada hari selepas Barisan Nasional (BN) mengumumkan Datuk Mohamad Alamin sebagai calon yang bertanding dalam PRK Parlimen Kimanis, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak memuat naik sebuah lagu bagi menyokong calon parti berkenaan.

Lagu itu bertajuk ‘Sabah Rakyat punya. Bukan PATI. Tolak PSS!’ dan video berdurasi selama tiga minit itu memaparkan berkenaan isu pendatang asing tanpa izin (PATI) , Pas Sementara Sabah (PSS) dan potongan insentif.

Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *