Polis Tahan 32 Pesalah Dadah Di Sekitar KK

Antara individu yang ditahan dalam operasi berkenaan. – Foto Ihsan Polis

KOTA KINABALU: Seramai 32 individu termasuk lapan warga asing ditahan polis dalam 19 serbuan membabitkan penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, kesemua tangkapan berumur dalam lingkungan 20 hingga 53 tahun.

Katanya, serbuan berkenaan dijalankan dalam tempoh seminggu operasi bermula 28 Disember 2019 hingga 3 Januari 2020.

Selain itu, pihaknya turut menjalankan Ops Sarang pada 2 dan 3 Januari di dua lokasi serbuan di Kampung Inanam Laut dan Kampung Air di sini.

“Dalam tempoh itu, sebanyak 7.71 gram dadah jenis syabu berjaya dirampas dengan anggaran nilai berjumlah RM1,156 mengikut harga dadah semasa.

“Kesemua tangkapan disiasat mengikut Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Kinabalu sentiasa mempertingkatkan usaha terutama memasuki tahun baharu ini dalam membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *