Perintah Berkurung Di ESSZone Dilanjutkan Hingga 21 Januari

KOTA KINABALU: Tempoh perintah berkurung di kawasan perairan di tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) yang sepatutnya berakhir esok dilanjutkan sehingga 21 Januari ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah, berkata perintah berkurung dari jam 6 petang hingga 6 pagi itu meliputi kawasan perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

Katanya, dengan berkuat kuasanya perintah berkurung itu, orang ramai yang tinggal di kawasan berkenaan dikehendaki berada di dalam rumah dan orang lain tidak dibenarkan masuk atau berada di kawasan diisytiharkan antara jam 6 petang hingga 6 pagi pada tarikh dinyatakan.

“Perintah berkurung diteruskan bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh oleh pengganas yang mengancam keselamatan kumpulan penyelidik menjalankan penyelidikan dan pelancong asing melawat pulau peranginan.

“Ini juga bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan mereka yang berada di daratan ESSZone,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Omar berkata, perintah berkurung itu juga akan memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot, selain menimbulkan rasa selamat serta yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran pasukan keselamatan.

“Saya juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di ESSZone bagi mengeluarkan permit kepada pemohon layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *