Lebuh Raya Pan Borneo Adalah Hak Orang Sabah Bukannya Hadiah Kerajaan BN

Peter dalam sidang akhbar di Membakut semalam. – Foto Facebook Datuk Peter Anthony

MEMBAKUT: Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony berkata dakwaan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah kini terbengkalai adalah tidak benar sama sekali.

Cuma kontrak syarikat-syarikat konsesi projek mega itu yang terdahulunya telah ditamatkan akibat kontroversi selepas kerajaan Negeri pimpinan Warisan ambil alih tampuk pemerintahan, namun projek Lebuhraya Pan Borneo masih lagi berterusan, katanya.

Peter turut menafikan kata-kata sindiran bahawa projek itu merupakan hadiah kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada rakyat Sabah kerana menurutnya pelaksanaan projek sedemikian merupakan tanggungjawab pihak kerajaan Persekutuan.

“Mereka mendakwa ianya merupakan hadiah dari BN namun mereka jangan lupa hasil daripada Sabah telah diambil oleh Kuala Lumpur dan sebenarnya inilah yang digunakan untuk biayai Projek Lebuh Raya Pan Borneo,” katanya.

Beliau ditemui selepas acara sambutan Hari Krismas dan Tahun Baharu 2020 di sini kelmarin.

Najib dalam lawatannya ke Beaufort kononnya mendakwa apabila Projek Lebuh Raya Pan Borneo terbengkalai, maka Pakatan Harapan (PH) telah menyekat usaha BN untuk menukar landskap ekonomi rakyat Sabah.

Sementara itu, Peter yang juga Presiden Persatuan KDM Malaysia yakin masyarakat Kadazandusun Murut (KDM) di kawasan Parlimen Kimanis akan memberi sokongan penuh terhadap calon Warisan Datuk Karim Bujang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis nanti.

PRK pada 18 Jan ini adalah pertandingan satu penjuru menyaksikan Warisan bertembung satu lawan satu dengan BN yang diwakili oleh bekas Adun Bongawan dan Ketua Umno Kimanis, Datuk Mohamad Alamin.-SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *