BERSATU Ingin Pastikan Karim Bujang Menang Di PRK Kimanis

Datuk Seri Hajiji Noor ketikar berucap di sambutan Hari Krismas dan Tahun Baharu 2020 di Membakut sini pada Sabtu.

MEMBAKUT: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah ingin pastikan calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Karim Bujang menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

Ketua Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata pemimpin parti itu bersama dengan komponen Pakatan Harapan serta rakannya Warisan berkumpul di Kimanis bukan sahaja untuk merayakan Hari Krismas dan Tahun Baharu 2020 tetapi juga kerana agenda paling besar iaitu memastikan kemenangan bagi calon Warisan.

Shafie (kanan) berbincang sesuatu dengan pemimpin-pemimpin Bersatu Sabah antaranya Hajiji (dua kanan) dan Adun Membakut Datuk Ariffin Arif semasa menunggu proses penamaan calon selesai pada Sabtu. foto Sumber media sosial

“Berilah peluang kepada calon Warisan ini untuk menang dalam pilihan raya kecil ini,” katanya dalam sambutan Hari Krismas dan Tahun Baharu 2020 di sini pada Sabtu.

Berucap buat pertama kalinya di hadapan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang juga presiden Warisan, Hajiji berkata Kerajaan Negeri Sabah pimpinan Warisan di bawah pimpinan Shafie haruslah diberi ruang dan masa untuk meneruskan agenda pembangunan negeri Sabah.

“Kita di Sabah memerlukan politik pembangunan. Kita mahu menyokong kerajaan untuk membantu rakyat terutama kawasan-kawasan yang memerlukan pembangunan

“Kerana itu kita telah sepakat untuk memberi sokongan padu selaku ahli komponen Pakatan Harapan dan Warisan adalah kawan kita.

“Dalam keadaan seumpama inilah kita mesti tunjukkan sokongan kita kepada Kerajaan Negeri pimpinan Warisan terutama calon dalam pilihanraya kecil ini,” katanya.

Hajiji yang juga Adun Sulaman mengingatkan kepada semua agar pentingkan masa hadapan.

“Negeri Sabah perlukan satu perpaduan yang jitu iaitu antara kerajaan negeri dengan parti-parti komponen Pakatan Harapan kerana bagi kita yang penting ialah rakyat dan pembangunan ekonomi untuk rakyat.

“Kita tidak boleh bersandarkan kepada politik emosional, yang sudah tidak relevan lagi di Sabah seperti (dipraktikkan) Barisan Nasional  dan Umno yang juga meletakkan calon di sini,” katanya.

Hajiji mengakui bahawa beliau merupakan orang kuat Umno dahulu dan begitu juga dengan Shafie yang pernah memegang jawatan naib presiden Umno.

“Tetapi rakyat sudah menentukan keadaan politik dengan mengubah kerajaan lalu. Tentu ada sebabnya kenapa kerajaan lalu yang sudah lama memerintah negara ini tumbang.

“Mungkin mereka sudah tidak peduli kepada rakyat, pemimpin mereka sombong kepada rakyat dan banyak menyalahgunakan kuasa mereka dalam kerajaan.

“Dalam pilihan raya yang lepas (kerajaan lalu) telah dihukum oleh rakyat dan memilih Pakatan Harapan di peringkat persekutuan dan Warisan bagi kerajaan Negeri Sabah,” katanya.-SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *