Bendera Parti Mula Warnai Parlimen Kimanis

KIMANIS: Aktiviti memasang bendera parti mulai rancak di kawasan kampung apabila lebih 20 belia dilihat menaikkan bendera Parti Warisan Sabah (WARISAN) di Kampung Langsat di sini, hari ini.

Lebih 100 bendera dipasang di sepanjang kampung berkenaan selepas tempoh berkempen bermula sebaik dua calon daripada WARISAN dan Barisan Nasional (BN) diumumkan semalam.

Petugas, Villorry Elandy (kanan) memasang bendera WARISAN di Kampung Langsat, Kimanis. – NSTP/Norasikin Daineh

Penduduk setempat Villorry Elandy, 20, berkata ‘demam pilihan raya’ yang sudah lama tidak melanda membuatkan suasana menjadi meriah.

“Saya bersama sekumpulan penduduk mula memasang bendera di tepi jalan dan kami mendapat lebih 100 bendera hari ini untuk dipasang.

“Aktiviti ini dijangka berterusan hingga hari terakhir kempen sebelum mengundi pada 18 Januari ini,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Rakannya, Ryner Anting, 37, teruja kerana tidak pernah mempunyai pengalaman pilihan raya kali kedua di kawasan mereka selain Pilihan Raya Umum (PRU) hampir dua tahun lalu.

“Suasananya berbeza kali ini kerana dua kali pilihan raya dibuat. Persaingannya juga sengit kerana kedua-dua calon dikenali penduduk dan biasa dilihat.

“Kami harap pembangunan di sekitar kawasan ini diteruskan oleh Ahli Parlimen baharu.

“Sebelum ini memang banyak pembangunan dibawa di sini tapi kami mengharapkan lebih lagi, selain wakil rakyat mengambil tahu kebajikan masyarakat setempat,” katanya.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis pada 18 Januari ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon WARISAN, Datuk Karim Bujang, dan Datuk Mohamad Alamin daripada Barisan Nasional.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *