38 Projek Naiktaraf Dalam Parlimen Sandakan Untuk Kemudahan Rakyat

Salah satu projek menaiktaraf kemudahan laluan pelajar di SM Sung Siew.

SANDAKAN: Sepanjang 2019, pejabat Parlimen Sandakan telah menggunakan peruntukan dengan sebaiknya untuk menyiapkan sejumlah 38 kerja-kerja projek menaiktaraf di kawasan Sandakan.

Ini termasuk membantu golongan B40 untuk membina semula rumah mereka yang rosak, usang dan menggantikan atap yang rosak.

Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong Shir Yee berkata, sebagai tambahan membuat kerja-kerja membaiki dan menaiktaraf, Parlimen Sandakan turut memberi fokus untuk menyediakan suasana pembelajaran atau persekitaran yang baik kepada sekolah dalam kawasan parlimen ini.

Salah satu projek menaiktaraf kemudahan laluan pelajar di SM Sung Siew.

“Kita juga menggantikan meja, kerusi, papan putih dan penghawa dingin yang baharu di sekolah-sekolah,” katanya.

Beliau menambah Parlimen Sandakan juga berusaha, mengambil berat dan memberikan keutamaan kepada keperluan rakyat yang kurang bernasib baik.

Katanya, ia turut menyediakan perabot yang baharu untuk pusat pembelajaran Persatuan Bagi Orang Pekak Sandakan.

“Ini juga membuktikan bahawa kita boleh melakukan lebih lagi untuk rakyat jika peruntukan yang ada digunakan dengan bijak dan sebaiknya untuk manfaat masyarakat,” katanya.

Vivian percaya pihaknya juga akan boleh melakukan lagi banyak kejayaan pada tahun 2020 ini.

Menara di Taman Chong Tain Vun di Trig Hill serta persekitaran diindahkan dan disediakan kemudahan baik untuk pengunjung.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini berhubung azam dan harapan beliau pada tahun 2020 serta kejayaan pelaksanaan kerja-kerja pejabat itu sepanjang tahun 2019.

Vivian menyatakan pihaknya bersama pasukannya di pejabat itu bertekad meneruskan usaha membantu rakyat dan pihak yang memerlukan di tahun 2020 ini.

“Kita juga akan cuba melakukan lagi banyak kejayaan pada tahun 2020 untuk kepentingan rakyat di kawasan parlimen saya.

“Sebagai kerajaan yang membawa harapan baharu kepada rakyat dan kita akan berusaha meningkatkan perkhidmatan yang lebih baik lagi untuk rakyat,” katanya.

Katanya, seperti yang mendiang ayahnya selalu katakan, “Sentiasa dahulukan rakyat kita”, ini juga akan menjadi kata semangat kepada mereka.

Vivian gembira pejabat itu juga berjaya melakukan beberapa usaha membantu rakyat di sini sepanjang tahun 2019 dan akan terus melakukannya di tahun 2020.

Beliau berkata pihaknya juga memohon maaf diatas sebarang kekurangan daripada pasukannya itu dan berjanji akan meningkatkan usaha mereka bagi memberikan perkhidmatan yang lebih baik lagi untuk rakyat di tahun 2020.

Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *