Lelaki Ditahan Bersama Syabu Bernilai Lebih RM7,000

Polis menjalankan pemeriksaan di bahagian dalam kenderaan suspek. – Gambar SNT/Ihsan IPD Kunak

KUNAK: Seorang lelaki dipercayai pengedar dadah ditahan selepas polis menemukan syabu bernilai RM7,786 di dalam kenderaan miliknya di sini, semalam.

Dalam kejadian pada pukul 3.42 petang itu, suspek berusia 30 tahun ditahan di sebuah tapak cuci kenderaan, Simpang Empat.

Ketua Polis Daerah Kunak, Superintendan Baharin Md Tahir berkata pihaknya menahan sebuah kenderaan jenis Produa Viva yang dipandu suspek di lokasi berkenaan. 

Suspek berusia 30 tahun turut memiliki dua rekod jenayah lampau membabitkan dadah. – Gambar SNT/Ihsan IPD Kunak

“Pemeriksaan di dalam kenderaan, kita menemukan satu beg kecil berzip di atas alas kaki bahagian pemandu.

“Pemeriksaan lanjut di dalam beg terbabit menemukan enam paket plastik lutsinar pelbagai saiz mengandungi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 51.91 gram dianggarkan bernilai RM7,786,” katanya dalam kenyataan media hari ini. 

Beliau berkata suspek turut didapati positif dadah jenis Methampetamine selepas ujian saringan air kencing dilakukan terhadapnya. 

Katanya siasatan juga mendapati suspek memiliki dua rekod jenayah lampau membabitkan dadah pada tahun 2015 dan 2018. 

Baharin menambah suspek kini ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *