Korban Banjir Jakarta Naik 43 Orang

Gambar menunjukkan lelaki mendukung anak perempuannya ketika meredah banjir di kawasan Jatinegara, Jakarta. Foto Reuters BERNAMA

JAKARTA: Korban akibat banjir dan tanah runtuh yang berlaku di wilayah ini meningkat kepada 43 orang manakala ratusan ribu lagi masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara, pada Jumaat.

Agensi Mitigasi Bencana Nasional mengesahkan semua kematian berlaku di Jakarta dan Lebak.

Penduduk membersihkan lumpur selepas banjir di Jakarta. FOTO Reuters/ ANTARA AFP

Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) negara itu terus menjalankan operasi mengesan rakyat negara itu yang masih hilang, manakala pasukan kesihatan bertungkus lumus memastikan tidak berlakunya wabak penyakit.

Berdasarkan maklumat pihak berkuasa, seramai 192,000 mangsa masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara memandangkan masih ramai yang tidak dapat kembali ke rumah kerana masih ditenggelami air dan dikotori sisa sampah.

“Kami menasihatkan agar penduduk yang masih terjejas untuk pergi mendapatkan bantuan di lokasi lebih selamat,” kata Jurucakap Agensi Mitigasi Bencana Nasional, Agus Wibowo.

Agensi berkenaan memaklumkan, bekalan elektrik yang diputuskan sebelum ini di Bekasi sudah kembali disambung semula namun sisa sampah dan kenderaan yang rosak masih memenuhi kawasan terjejas.

Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG) dalam kenyataan memaklumkan banjir kali ini disebabkan hujan lebat dengan bacaan 377 milimeter (mm) meningkat berbanding sebelum ini dan hujan lebat diramalkan berlaku sehingga 10 Januari ini. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *