Kita Tolong Kawan Kita WARISAN – Hajiji

MEMBAKUT: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Parti Warisan Sabah (Warisan) adalah kawan mereka yang perlu dibantu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

Beliau berkata, sudah menjadi tanggungjawabnya sebagai pemimpin parti komponen Pakatan Harapan (PH) untuk membantu Warisan yang merupakan rakan politik mereka.

Hajiji buat pertama kali hadir ke program bersama Ketua Menteri sejak keluar UMNO pada April tahun lalu.

“Ini tanggungjawab kita sebagai ahli komponen PH dalam saat begini, pilihan raya kecil kita kena tolong kawan kerana calon daripada Warisan ialah kawan kita, kerajaan PH kawan dengan Warisan maka kita kena turun itu tanggungjawab kita,” katanya ketika ditemui Borneo Today di majlis sambutan Perayaan Krismas dan Tahun Baharu 2020 di Membakut.

Dalam majlis itu, buat pertama kali Hajiji hadir dan turut berucap di pentas sama yang turut dihadiri Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal sebagai tetamu kehormat.

Sejak menyertai Bersatu daripada UMNO pada April tahun lalu, hubungan Hajiji dengan Mohd. Shafie dilihat dingin apabila beliau beberapa kali mengkritik dasar pemerintahan Ketua Menteri Sabah itu.

Beliau bagaimanapun akur untuk menjalin kerjasama dan hubungan baik bersama Mohd. Shafie dalam PRK Parlimen Kimanis demi mencapai kemenangan.

Sementara itu, ditanya adakah kehadirannya di program itu bersama Mohd. Shafie menandakan berakhirnya hubungan dingin mereka, Hajiji mengakuinya.

“Selesai sudah, kita akan pastikan kemenangan calon Warisan di Kimanis,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *