Gong Punca Rezeki Rakyat Sabah

Rohana mempamerkan kebolehan memainkan alat tradisional kulintangan.

KOTA BELUD: Gong bukan sahaja sebagai alat muzik dan menjadi pelengkap kepada sesebuah tradisi bagi suku kaum tertentu, malah turut menjadi sumber pekerjaan kepada penduduk di Sabah.

Bagi sesetengah masyarakat di Negeri di Bawah Bayu itu, gong juga digunakan sebagai pemberian dalam sesebuah perkahwinan.

Darwin menggunakan alat pengimpal untuk melekatkan plat zink bagi membentuk permukaan canang.

Tidak hairan pembuatan gong sangat penting dalam kehidupan masyarakat di negeri berkenaan.

Bagi pembuat gong Kampung Sumangkap, Matunggong, pasangan Rohana Mokuut dan suaminya, Darwin Kunama mempunyai kemahiran membuat gong dan mahir dalam penghasilannya.

Rohana berkata, ketepatan bunyi perlu dilakukan dengan teliti dengan mengambil kira jenis bahan yang digunakan.

“Kami menggunakan dua jenis bahan berbeza iaitu plat zink dan tembaga, mengikut tempahan.

Begitu juga saiz dan bentuk setiap gong yang dihasilkan turut mempengaruhi bunyi apabila dipalu,” katanya ditemui baru-baru ini.

Dalam menghasilkan gong yang berkualiti, memerlukan si pembuatnya benar-benar mahir dan memiliki daya pendengaran yang mampu mencari ketepatan bunyi bagi memastikan ‘kod’ dihasilkan tidak lari daripada bunyi asal alat muzik berkenaan.

Gong menjadi buah tangan istimewa dijual kepada pengunjung di Kampung Sumangkap, Matunggong.

“Tanpa kemahiran ini, bunyi gong yang dihasilkan akan menjadi sumbang dan tidak berkualiti sekali gus mencacatkan keseluruhan persembahan menggunakan alat muzik tradisi berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, keistimewaannya Kampung Sumangkap dipilih kerajaan negeri sebagai pengeluar dan pembuat gong selaras dengan saranan Satu Daerah Satu Industri (SDSI).

“Boleh dikatakan setiap penduduk di kampung ini pakar membuat gong. Kami menghasilkan lima jenis alat muzik berasaskan gong iaitu gong, canang, kuritikon, kulintangan dan seludon.

“Memandangkan masing-masing memiliki reka bentuk yang berbeza, begitu juga masa untuk membuatnya.

“Sebagai contoh gong memiliki saiz yang lebih besar, begitu permukaannya memiliki garisan di sekeliling dan dinding tinggi bagi membezakan bunyi.

“Untuk menyiapkan sepenuhnya, ia memerlukan masa yang lama. Untuk membuat bahagian bahagian kepala sahaja mengambil masa dua jam. Untuk membuat canang, kuritikon, kulintangan dan seludon pula memerlukan masa sehari,” katanya.

Oleh itu, pekerjaan membuat peralatan berkenaan memerlukan kesabaran yang tinggi dan minat mendalam untuk memastikan hasilnya berkualiti serta terjaga nilai estetika.

Bukan semua orang mampu melakukannya terutama dalam kalangan generasi muda yang kurang berminat mempelajari atau menceburi bidang pembuatan

“Saya mendapat tunjuk ajar membuat gong daripada bapa. Suami pula mempertajamkan kemahiran asas berkenaan termasuk membentuk serta mencorakkannya,” katanya.

Rohana berkata, gong tembaga lebih bagus bunyinya kerana struktur pembuatannya kuat dan kenyaringan bunyinya tidak berubah.

“Sebab itu harga gong tembaga lebih mahal daripada gong plat zink. Sebiji gong dijual dengan harga serendah RM300 atau RM2,500 seunit.

“Kebiasaan set lengkap ‘orkestra gong’ merangkumi empat hingga enam gong terdiri daripada canang, kuritikon, seludon serta tujuh hingga sembilan kulintangan,” katanya.

Selain memiliki kemahiran menghasilkan alat muzik tradisional, Rohana turut mahir memukulnya terutama kulintangan.

Beliau sempat mempersembahkan sebuah lagu tradisional masyarakat Rungus menggunakan kulintangan bagi menghiburkan tetamu yang datang.

Ketika mengunjungi bengkel pembuatan mereka, Darwin sibuk menyiapkan tempahan lima unit canang yang menurutnya untuk pelanggan di Kundasang.

Selain dikenali sebagai pusat pembuatan gong, Kampung Sumangkap juga turut dijadikan sebagai destinasi persinggahan pelancong apabila berkunjung ke Kudat.

Di sini, pengunjung bukan sahaja berpeluang melihat cara pembuatan gong sehingga siap, malah dapat membeli dan menempah gong pelbagai saiz dengan harga berpatutan.

Sumber: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *