Angka Kematian Banjir Di Jakarta Meningkat Kepada 53 Orang

Penduduk kampung memeriksa keadaan jambatan yang musnah akibat banjir di kampung Banjar Irigasi di Lebak, daerah Banten, Jakarta. – Foto AFP

JAKARTA: Puluhan ribu mangsa banjir Indonesia masih tidak dapat kembali ke rumah mereka yang dinaiki air hari ini selepas banjir melanda ibu kota negara itu, mengorbankan sekurang-kurangnya 53 penduduk, kata pihak berkuasa.

Lebih 170,000 orang berlindung di pusat perlindungan seluruh bandar raya yang mempunyai 30 juta penduduk selepas semua kawasan kejiranan ditenggelami air.

Seorang lelaki tergantung pada tali di kawasan yang terjejas banjir selepas hujan lebat di Jakarta, Indonesia. – Foto REUTERS

Hujan lebat yang bermula malam Tahun Baharu menyebabkan banjir kilat dan tanah runtuh di wilayah itu dan kawasan kejiranan Lebak di selatan Jawa.

Hari ini, agensi bencana Indonesia berkata, angka kematian meningkat kepada 53 dengan seorang masih hilang.

“Kami menemui lebih banyak mayat,” kata jurucakap Agensi Mitigasi Bencan Kebangsaan, Agus Wibowo.

Pegawai akan melawat penduduk yang tidak berumah hari ini di kawasan paling teruk terjejas, katanya.

Pusat perlindungan dipenuhi mangsa, termasuk bayi, yang berehat di atas tikar ketika makanan dan minuman semakin berkurangan.

Sebahagiannya menggunakan air banjir dan untuk membersihkan diri dan peralatan makanan.

“Kami amat memerlukan air bersih di pusat perlindungan ini.

“Kami membersihkan diri di gereja berhampiran tetapi masa terhad kerana ia menggunakan jana kuasa elektrik,” kata salah seorang pelarian, Trima Kanti. — AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *