Tidak Serik, Bekas Banduan Ditahan Kes Sama

Gambar Ihsan IPD Lahad Datu

LAHAD DATU: Hukuman penjara atas kesalahan mengambil dadah dua tahun lalu, tidak ‘cukup’ buat seorang lelaki tempatan apabila dia ditahan sekali lagi kerana disyaki memiliki dan mengedar syabu, di Jalan Tengah Nipah, di sini, lewat malam tadi.

Dalam kejadian pukul 11.50 malam itu, polis turut menemukan dua paket lutsinar yang berisi ketulan hablur dipercayai syabu seberat 5.3 gram yang disimpan pada beg pinggang pada badan suspek berumur 32 tahun itu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, sebelum kejadian, sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat berkaitan.

Gambar Ihsan IPD Lahad Datu

“Hasil pemantauan dilakukan, anggota bertugas menemukan suspek dalam keadaan mencurigakan di situ.

“Anggota polis kemudian menahan suspek bagi melakukan pemeriksaan rutin sebelum menemui dadah tersebut bersama kertas foil di dalam beg pinggang yang dibawanya,” katanya.

Sehubungan itu, suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Gambar Ihsan IPD Lahad Datu

Nasri berkata, hasil pemeriksaan dilakukan, suspek mempunyai rekod kesalahan lampau mengikut Seksyen 15(1)(a) akta yang sama di Kunak pada tahun 2018.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *