PRK Kimanis: 14 Borang Calon Disentap

Datuk Azhar Azizan Harun bersama Ketua Polis Daerah Beaufort DSP Azmir Abd Razak meninjau persiapan di Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun Banir di Beaufort hari ini. Gambar Bernama

KIMANIS, 3 Jan: Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis dijadual bermula pukul 9.00 pagi esok, dengan tumpuan terarah kepada jumlah calon yang bakal bertanding pada pilihan raya kecil itu.

Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun Banir di Beaufort dekat sini, menjadi lokasi Pusat Penamaan Calon bagi PRK ke-10 itu sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei 2018.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi tempoh satu jam kepada calon bagi mengemukakan borang pencalonan masing-masing.

SPR menetapkan PRK Parlimen Kimanis pada 18 Jan, manakala penamaan calon pada 4 Jan dan pengundian awal 14 Jan.

Pada PRK kali ini, Parti Warisan Sabah (Warisan) mengumumkan Ketua Bahagian Warisan Kimanis, Datuk Karim Bujang, 67, sebagai calon parti berkenaan.

Barisan Nasional (BN) pula mempertaruhkan Ketua UMNO Kimanis Datuk Mohamad Alamin, 48, sebagai calon mereka.

Beberapa calon yang bakal bertanding atas tiket Bebas juga dijangka mengemukakan borang pencalonan masing-masing.

Sementara itu, Pengerusi SPR Datuk Azhar Azizan Harun ketika ditemui pemberita selepas melawat pusat penamaan calon itu hari ini, berkata sebanyak 14 borang pencalonan bagi pilihan raya kecil itu sudah dijual setakat ini.

Karim ialah calon Warisan bagi kerusi itu pada PRU14, namun kalah dengan majoriti 156 undi kepada bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, yang ketika itu bertanding atas tiket BN.

PRK Parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 1 Dis lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan Anifah bagi kerusi itu.

Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos tahun lepas memutuskan bahawa kemenangan Anifah di kerusi itu sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Anifah memperoleh 11,942 undi dalam pertandingan tiga penjuru. Calon lain daripada Parti Harapan Rakyat Sabah, Jaafar Ismail pula meraih 1,300 undi.

Daftar pemilih bagi PRK Parlimen Kimanis merangkumi 29,664 pengundi yang terdiri daripada 29,654 pengundi biasa, sembilan pengundi awal dan seorang pengundi tidak hadir luar negara.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Beaufort DSP Azmir Abd Razak berkata 375 anggota pasukan keselamatan itu akan ditugaskan semasa hari penamaan calon, esok.

Beliau turut menasihatkan penyokong parti bertanding supaya tidak bertindak agresif dan memberi sokongan kepada calon masing-masing secara berhemah.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *