5 Ditahan Ketika Lapah Daging Haiwan Buruan

Empat suspek warga Indonesia ditahan ketika melapah daging haiwan liar di Hutan Simpan Tabin.

LAHAD DATU: Buru, tombak dan lapah. Itu perbuatan kejam empat lelaki warga Indonesia termasuk seorang pekerja ladang kelapa sawit berhampiran yang ditahan selepas dipercayai terbabit dalam aktiviti pemburuan haram, di Hutan Simpan Tabin, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian pukul 12.30 malam itu, semua suspek berumur antara 20 hingga 50 tahun itu ditahan ketika sedang leka melapah hasil buruan mereka dipercayai bagi memudahkannya untuk diseludup keluar.

Peralatan yang digunakan untuk berburu.

Turut ditahan seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun yang dikatakan menjadi pelanggan dan membayar upah untuk haiwan liar yang diburu itu.

Difahamkan, seorang daripada suspek warga Indonesia yang juga pekerja ladang kelapa sawit berhampiran menjadi dalang utama aktiviti tersebut memandangkan dia mempunyai akses keluar masuk ladang selain arif selok-belok kawasan persekitaran.

Ketua Konservator Hutan, Datuk Mashor Jaini menerusi kenyataan media, hari ini, mengesahkan tangkapan tersebut.

“Kami turut merampas tiga bangkai haiwan liar selain daging, bahagian dan organ dalaman haiwan yang siap dilapah.

“Dalam masa sama, beberapa peralatan termasuk tiga tombak dengan kesan darah dipercayai digunakan untuk aktiviti pemburuan tersebut,” katanya.

Daging dan organ dalam haiwan liar yang dilapah.

Sehubungan itu, semua suspek ditahan dan diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah untuk disiasat mengikut Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997.

Tambah Mashor, pihaknya kesal apabila aktiviti pemburuan haram itu didalangi oleh pekerja ladang kelapa sawit yang terletak bersempadan dengan Hutan Simpan Tabin.

“Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku kerana setiap pemilik dan pekerja ladang sedia maklum akan larangan pemburuan haiwan dilindungi di kawasan hutan simpan.

“Bagaimanapun, tindakan pekerja ladang warga Indonesia itu dianggap khianat kerana cuba mengaut keuntungan dengan membawa rakan subahat untuk berburu di situ,” katanya.

Mashor berkata, pihaknya berharap agar pemilik dan pekerja ladang lebih peka dalam mematuhi peraturan yang telah ditetapkan undang-undang.

“Ini termasuk meningkatkan kawalan keselamatan di pos kawalan dan sempadan ladang bagi mengelakkan pemburu haram menceroboh seterusnya menjadikan kawasan mereka sebagai laluan ke hutan simpan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *